News

Penduduk Miri wajar laksana pengasingan sisa pepejal
Posted on : 28 Dec 2020  Source of News: Utusan Borneo
 

TURUN PADANG: Yii bersama jawatankuasa bergambar bersama sebelum mengadakan lawatan di fasiliti pengurusan sisa buangan.

MIRI: Penduduk Miri wajar melaksanakan pengasingan sisa pepejal dan mengurangkan pembaziran dalam membantu Majlis Bandaraya Miri (MBM) menjimatkan kos pengurusan sampah.

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, tahun lepas MBM membelanjakan sekitar RM17 juta untuk pengurusan sampah termasuk pengumpulan, pengangkutan, pelupusan dan rawatan.

Beliau berkata, alangkah baiknya jika perbelanjaan yang berjuta-juta itu digunakan bagi tujuan lebih baik untuk pembangunan infrastruktur dan menambah baik fasiliti untuk kesejahteraan warga Miri.

“Berdasarkan rekod Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada 2019, sebanyak 78,586.28 tan sisa dengan purata 220 tan sisa buangan setiap hari.

“Jika 73.6 peratus sampah dapat dipulihkan atau dikitar semula melalui pengasingan sampah wajib, MBM dapat menjimatkan kira-kira RM12 juta,” katanya.

Beliau menambah, manakala Januari hingga November tahun ini, MBM menerima sebanyak 64,254.49 tan sisa buangan.

Yii berkata demikian selepas mengetuai lawatan ke tapak pelupusan sampah oleh Jawatankuasa Tetap Perkhidmatan Bandar dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Alam Sekitar dan Komuniti Hijau di Tapak Pelupusan Sampah Bekenu dan Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Lambir, baru-baru ini.

Semasa lawatan di kedua-dua tapak tersebut, beliau dapati pengasingan sisa pepejal di pusat pelupusan itu sangat teruk.

“Kajian Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu di sini pada 2018 menunjukkan warga Miri paling banyak membuang sisa makanan iaitu 39.8 peratus.

“Manakala sisa buangan lain 26.4 peratus diikuti plastik dan kertas masing-masing menyumbang 19.6 peratus dan 14.2 peratus,” katanya.

Yii menggesa penduduk di Miri memainkan peranan lebih aktif dalam mengasingkan sampah dan mengurangkan pembaziran terutama makanan.

Katanya, MBM wajar memandang serius perkara ini termasuk mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah sisa buangan oleh warga Miri.

Katanya, ini penting dalam memanjangkan tempoh jangka hayat tapak pelupusan.

Mengenai lawatan itu, Yii berkata ia bertujuan mendapatkan pengalaman langsung operasi dan penyelenggaraan fasiliti pengurusan sisa seterusnya menyumbang maklumat untuk penambahbaikan dan pembangunan pada masa hadapan.

Katanya, hasil maklumat lawatan akan digunakan untuk menentukan kaedah yang sesuai dan komprehensif dalam mengurangkan sisa buangan.

“Kaedah yang boleh digunakan sama ada memperkasa kempen kesedaran kitar semula atau menggunakan teknologi baharu untuk mengurangkan jumlah sisa buangan ke tapak pelupusan,” kata Yii.

Mengenai Stesen Pemindahan Sisa di Lambir, Yii memberitahu MBM akan mereka bentuk penyelesaian jangka panjang untuk menambah baik kolam air larut resap sementara menunggu stesen itu siap.

“MBM juga perlu meneliti cadangan pembinaan sel kelima di Tapak Pelupusan Sampah di Sibuti.

“Kita melihat sel kelima ini sebagai projek utama yang perlu disegerakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.