News

MBM komited kerjasama, bantu polis Miri membanteras jenayah
Posted on : 11 Jan 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

PENGHARGAAN: Yii (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Hakemal semasa majlis makan malam bagi meraikan pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Daerah yang baharu.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan terus bekerjasama dengan polis Miri dalam memantau dan mengurangkan kejadian jenayah di bandar raya ini terutama di kawasan perumahan.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata, MBM melalui unit pasukan rondaannya komited menjadi mata dan telinga dalam membantu polis memerangi sebarang aktiviti jenayah.

“Kita berharap kerjasama ini terus diperkukuh pada masa akan datang demi kesejahteraan warga Miri.

“Pada masa yang sama, MBM komited untuk memberi kerjasama kepada pihak polis. Tidak dinafikan peranan polis amat penting,” kata Yii.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis makan malam bagi meraikan Ketua Polis Daerah (KPD) Miri yang baharu, ACP Hakemal Hawari di sebuah restoran di sini, malam kelmarin.

Yii melahirkan penghargaan kepada polis Miri yang sebelum ini turut bekerjasama dengan unit rondaan selain membantu MBM menjalankan tugas penguatkuasaan.

Sementara itu, majlis tersebut bertujuan mengeratkan hubungan baik antara MBM dengan IPD Miri selain penghargaan di atas hubungan baik.

Beliau memberi jaminan kerjasama itu akan terus dilaksanakan.

Hadir sama ketua-ketua jabatan dari IPD Miri, Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad dan Setiausaha MBM Morshidi Fredrick.