News

Pelajar Curtin Malaysia sokong pengurusan sisa pepejal MBM
Posted on : 25 Jan 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

DIALOG: Ahli pasukan projek SWS bergambar bersama wakil MBM semasa sesi dialog baru-baru ini.

MIRI: Pelajar Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) menubuhkan kumpulan projek ‘Kelestarian Dunia Pintar’ atau ‘Smart World Sustainability’ (SWS) bagi menyokong usaha pengurusan sisa pepejal di bandar raya ini.

Projek yang mendapat sokongan Fakulti Kejuruteraan dan Sains itu ditubuhkan sejak September 2020 dan menggabungkan beberapa pelajar dari pelbagai jurusan yang berminat dalam pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian.

Antara objektif projek ialah mewujudkan jaringan mampan dalam pengurusan sisa pepejal seperti plastik dan kertas melalui pembangunan inovasi digital bagi memantapkan sistem pengurusan pengurusan sisa pepejal yang sedia ada di sini.

Pengurus projek yang merupakan pelajar jurusan tahun akhir kejuruteraan kimia, Paul Tinotenda Nyamtowo berkata, mereka mendapat ilham menubuhkan pasukan ini selepas tertarik dengan isu berkaitan perlindungan alam sekitar dan orang awam di negeri ini

“Projek ini meliputi pengutipan, pemisahan dan pengangkutan sisa pepejal ke pusat kitar semula dan fasiliti yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kita berharap ia dapat meningkatkan kesedaran terhadap pengurusan sisa pepejal yang mampan dan bertanggungjawab di kalangan sektor perniagaan, institusi dan orang awam,” katanya semasa mengadakan dialog bersama Majlis Bandaraya Miri (MBM) di sini baru-baru ini.

Paul menambah, pembuangan plastik dan kertas yang tidak betul, terutama plastik akan menjejaskan sistem degradasi alam sekitar dan perubahan suhu.

Katanya, usaha meningkatkan kesedaran terhadap alam sekitar ini penting terutama di kalangan generasi muda.

Beliau berharap projek itu dapat menarik perhatian dan penglibatan semua pihak untuk menguruskan sisa pepejal secara mampan dalam kehidupan harian.

Sebelum ini, tiga ahli SWS iaitu Rebekah Min Majoy, Alexandra Jacklya dan Michael Luke Ho Gwanjie mengadakan dialog bersama MBM bagi membincangkan kerjasama, bertukar idea berkaitan pengurusan sisa pepejal, kitar semula dan kelestarian alam sekitar di sini.

Turut dibincangkan ialah isu dan cabaran antaranya kurangnya kesedaran dan pematuhan orang awam dalam pendekatan yang dilaksanakan oleh MBM, contohnya kempen ‘Katakan Tidak Kepada Beg Plastik’.

Projek SWS ini mengalu-alukan peluang kerjasama dan rakan kongsi untuk bersama-sama menyokong kempen pengurusan alam sekitar mampan.