News

MBM bertindak tegas kompaun pesalah langgar SOP
Posted on : 27 Jan 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

PERIKSA: Yii (kiri) mendengar aduan salah seorang penjaja, semasa melakukan pemeriksaan di kawasan pasar di pusat bandar raya Miri, semalam bersama beberapa pegawai dan anggota penguat kuasa MBM.

MIRI: Berkuat kuasa semalam, Majlis Bandaraya Miri (MBM) kini akan bertindak lebih tegas dengan mengenakan kompaun ke atas semua pesalah yang didapati melanggar arahan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani wabak COVID-19 di sini.

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, dengan bahagian Miri masih berada dalam Zon Merah, pihaknya kini akan bersikap lebih tegas memastikan semua SOP dipatuhi.

Beliau membuat pemeriksaan ke beberapa premis makanan di Pasar Central yang terletak di pusat bandar raya di sini, bersama beberapa pegawai kanan MBM daripada Bahagian Perhubungan Awam, Seksyen Kesihatan Awam, arkitek Bbndar daripada Jabatan Kejuruteraan dan enam anggota penguat kuasa untuk memastikan kepatuhan SOP bukan sahaja di kalangan penjaja tetapi juga pelanggan yang berkunjung.

Menurut Yii, dengan Miri masih diletakkan dalam Zon Merah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya tidak mahu mengambil mudah perkara berkenaan dan menggesa semua penduduk di sini memberi kerjasama sepenuhnya dalam mematuhi SOP dan memutuskan rantaian COVID-19.

“Semalam (Isnin), terdapat 10 kes positif di Miri dan 11 kes di Subis. Keadaan masih sangat serius.

“Justeru, MBM telah mengeluarkan notis untuk mengingatkan orang ramai supaya  bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memerangi wabak COVID-19 dengan mematuhi SOP dengan ketat seperti memakai pelitup separuh muka di tempat awam, menjaga jarak sosial, membersihkan tangan dengan kerap dan mengelak mengunjungi kawasan luar bandar dan sebaliknya, kecuali benar-benar diperlukan,” jelas beliau.

“MBM pada masa yang sama turut memperketatkan penguatkuasaan semua pematuhan SOP, selain syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan yang lain,” tambah Yii.

Beliau memberi jaminan MBM akan bekerjasama dengan orang ramai dalam memerangi wabak COVID-19 dan berharap dalam masa terdekat, Miri akan kembali ke status Zon Hijau.

Hasil tinjauan semalam, mendapati kebanyakan gerai di Pasar Central dibuka untuk perniagaan walaupun orang ramai kelihatan kurang daripada biasa, berikutan pelaksanaan PKPB.

Begitu juga di kawasan Old Man Street di Persiaran Kabor, Yii memberitahu, hasil pemeriksaan mereka mendapati orang ramai berkurangan berkunjung ke situ dengan pematuhan SOP yang baik kecuali terdapat beberapa orang yang masih berdegil.

Dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan Seksyen Kesihatan Awam MBM memberi peringatan kepada penjaja makanan supaya tidak membuang bekas minyak untuk menggoreng terus ke dalam longkang kerana ini akan menyebabkan bau busuk dan saluran tersumbat.

Pada masa yang sama, peniaga juga harus menangani sisa makanan mereka dengan betul agar tidak menarik tikus-tikus untuk datang dan membiak di kawasan pasar.