News

MBM naik taraf Tamu Muhibbah dan Pasar Besar Krokop
Posted on : 16 Mar 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

BERUBAH: Tamu Muhibbah di Miri bakal berubah wajah.

MIRI: Tamu Muhibbah dan Pasar Besar Krokop akan berwajah baharu berikutan langkah Majlis Bandaraya Miri (MBM) menaik taraf kemudahan itu sejak 1 Mac lalu.

MBM dalam kenyataan semalam berkata, kerja-kerja menaik taraf dilakukan secara berfasa sehingga Mei tahun ini.

Sehubungan itu, penjaja-penjaja yang terjejas akan ditempatkan di kanopi sementara yang akan disedia-kan oleh MBM di tamu dan pasar besar tersebut.

“Sebelum ini, MBM sudah menyiapkan kerja menaik taraf Miri Central Market, Miri Open Air Market manakala Unity Cooked Food Centre kerja-kerja menaik taraf sedang dilaksanakan.

“Mengikut perancangan, MBM akan melaksanakan naik taraf di 11 pasar, tamu dan pusat menjamu selera. Terdapat projek menaik taraf masih tertangguh berikutan pertuntukan dan isu teknikal,” menurut MBM dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, kerja menaik taraf Tamu Muhibbah dan Tamu Khas di Jalan Padang, MBM dilaksanakan mulai 1 Mac hingga 31 Mei.

Ia melibatkan dua fasa dengan fasa pertama Tamu Muhibbah bermula pada 1 Mac hingga 22 April manakala fasa kedua Tamu Khas pada 23 April hingga 31 Mei.

Sehubungan itu, Tamu Muhibbah akan ditutup mulai 15 Mac hingga 22 April manakala Tamu Khas mulai 7 Mei hingga 31 Mei.

Kerja-kerja menaik taraf itu meliputi pemasangan semula wayar, pembinaan sengkuap tambahan, pemasangan peralatan anti kebocoran atap dan mengecat semula bangunan.

Bagi Pasar Besar Krokop di Jalan Krokop Utama, kerja pembinaan sedang dilaksanakan sehingga 31 Mei.

Fasa pertama, aras pertama ditutup sehingga 4 April manakala fasa kedua, pasar basah ditutup mulai 5 April hingga 26 April.

Fasa ketiga, seksyen gerai kering akan ditutup mulai 26 April hingga 31 Mei.

Projek menaik taraf meliputi pembinaan atap baharu dan kerja pembaikan struktur bangunan.

MBM menekankan bahawa Jabatan Kejuruteraan MBM akan mengawasi kerja-kerja pembinaan manakala Seksyen Kesihatan Awam bekerjasama dengan pemilik-pemilik gerai.