News

UTC di Sarawak kembali beroperasi mulai Rabu ini - JPBNS
Posted on : 16 Mar 2021  Source of News: Utusan Sarawak
 

KUCHING: Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuching, Sibu dan Miri akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 17 Mac 2021.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata pusat-pusat transformasi berkenaan akan beroperasi mengikut waktu pejabat iaitu bermula 8 pagi hingga 5 petang.

"Pada hari ini juga JPBNS memutuskan untuk membuka semula pengoperasian Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuching, Sibu dan Miri mulai 17 Mac 2021.

"Pusat-pusat transformasi ini akan beroperasi mengikut waktu pejabat iaitu bermula 8 pagi hingga 5 petang," katanya dalam kenyataan hari ini 

UTC di Kuching, Sibu dan Miri ditutup sementara bermula 19 Februari 2021 susulan ancaman wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Sementara itu, JPBNS berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah mengeluarkan 102 kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di seluruh negeri.

Menurutnya daripada 102 kompaun yang dikeluarkan itu, Kuching merekodkan jumlah tertinggi iaitu 75 diikuti Miri (23), dan Padawan (empat).

"Manakala 13 tangkapan melibatkan warganegara asing di kelab malam di Kuching kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kesemua mereka adalah pelajar dari Rusia, Sri Langka masing-masing dua sementara dari Zimbabwe, Yaman, Kazakhstan, Belanda, Bangladesh, Arab Saudi dan Ethiopia masing-masing seorang," jelasnya.