News

Teliti keperluan naik taraf taman rekreasi mini
Posted on : 18 Mar 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) melihat keperluan bagi menaik taraf taman rekreasi mini yang ada di kawasan perumahan termasuk usaha menyediakan lebih banyak kemudahan bagi penduduk melakukan aktiviti sihat.

Datuk Bandarnya Adam Yii berkata, usaha tersebut sejajar dengan hasrat kerajaan membentuk masyarakat yang sihat.

“Kita meneliti terlebih dahulu untuk menaik taraf taman rekreaksi mini di kawasan-kawasan perumahan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke buah taman rekreasi mini di Jalan Spring Riam 2, dan Ocean Park di Luak di sini semalam.

Untuk taman rekreasi mini di Jalan Spring Riam 2, Yii menjelaskan projek bernilai RM59,000 itu dibina di bawah peruntukan MBM dan telah siap.

Bagaimanapun, taman tersebut hanya menyediakan kemudahan asas seperti trek joging dan bangku.

Oleh itu, MBM akan meneliti bagi perancangan seterusnya untuk menyedia-kan lebih banyak kemudahan di taman bagi kegunaan penduduk.

“Projek taman rekreasi mini di kawasan perumahan adalah konsep baik bagi kemudahan penduduk tinggal di kawasan terbabit.

“Selain melakukan aktiviti senaman pada waktu pagi dan petang, penduduk juga boleh menggunakan taman itu untuk melakukan aktiviti rekreasi secara tidak langsung meningkatkan semangat kejiranan di kawasan terbabit,” je-lasnya.

Mengulas mengenai taman rekreasi mini di Ocean Park, beliau berkata projek itu adalah di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Dengan kos keseluruhan RM80,000, peruntukan itu adalah daripada Menteri Muda Pelancongan, Kese-nian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting.

Katanya, MBM mencadangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu me-ngenai rancangan memperluas kawasan taman rekreasi terbabit.

“Ocean Park adalah kawasan perumahan cukup besar. Kita mencadangkan kepada Ting bagi memperluas kawasan taman agar dapat menampung kapasiti kanak-kanak di kawasan terbabit,” jelasnya.