News

Bazar Ramadan di Miri tidak diteruskan tahun ini
Posted on : 09 Apr 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memutuskan untuk tidak meneruskan penganjuran Bazar Ramadan di dalam kawasan pentadbirannya tahun ini selepas mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 di Sarawak.

MBM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, berkata keputusan itu dibuat memandangkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar. 

Selain itu, ia akan memberi kesan kepada keberangkalian untuk berlaku penularan semula COVID-19 sekali gus merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak itu sepenuhnya. 

Justeru, MBM berkata adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan. 

Pada Selasa lalu, MBM mengeluarkan perancangan senarai tiga lokasi bazar Ramadan tahun ini iaitu di tempat letak kereta berhampiran Bank Rakyat, Bandar Baru Permyjaya; MYY Mall di Lutong dan Pusat Komersial Taman Tunku.