News

Pasar Ikan Miri baharu mula beroperasi hari ini
Posted on : 15 Apr 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Pasar Ikan Miri yang baharu di Tebingan Miri, tepatnya di belakang Pullman Hotel, mula beroperasi hari ini melibatkan 60 gerai menjual ikan dan hasil laut yang lain serta dua gerai ayam hidup dan tiga gerai ayam sembelih.

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataannya di sini semalam memberitahu, sebaik pembukaan lokasi baharu ini, pasar ikan lama di lokasi sedia ada akan ditutup.

“Peniaga ikan akan meninggalkan pasar lama yang ada di Jalan Bendahara dan memulakan perniagaan mereka di Pasar Ikan Miri baharu yang terletak di belakang Pullman Hotel, berkuat kuasa pada hari Khamis, 15 April ini,” ujar Datuk Bandar Adam Yii dalam kenyataan tersebut.

Orang awam dari pusat bandar dapat datang atau masuk ke pasar ikan baharu melalui Jalan Marina Utama setelah melalui Pusat Komersial Miri Waterfront.

“Pasar Ikan Miri baharu lebih kondusif untuk peniaga dan pelanggan, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tandas awam serta kawasan yang terpisah untuk peniaga memuat dan memunggah hasil atau jualan mereka. Terdapat juga tempat letak kenderaan yang mencukupi untuk pelanggan setelah mempertimbangkan pandangan dan cadangan daripada pihak peniaga,” jelas Adam lagi.

Pasar ikan lama di Jalan Bendahara mempunyai masalah tiada tempat parkir kereta yang mencukupi.

Sehubungan itu, Yii memberi jaminan lokasi baharu ini mempunyai tempat parkir mencukupi untuk peniaga dan orang awam.

Masalah parkir kereta yang sentiasa tidak mencukupi di pasar lama juga telah me-nimbulkan masalah kesesakan trafik yang teruk terutama pada waktu puncak.