News

MBM perketat penguatkuasaan SOP halang penularan COVID-19
Posted on : 23 Apr 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

PANTAU: Anggota penguat kuasa MBM meninjau situasi di beberapa kawasan perniagaan di Taman Tunku semalam bagi memastikan peniaga dan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan.

MIRI: Seiring langkah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang mengenakan kawalan ketat bagi menghalang penularan wabak COVID-19 di negeri ini, Majlis Bandaraya Miri (MBM) turut mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Berikutan itu, pada operasi terkini yang dijalankan semalam, penguat kuasa MBM mengeluarkan empat notis kompaun di kawasan Taman Tunku kerana berniaga tanpa permit yang sah.

Datuk Bandar Adam Yii memberitahu, pada masa yang sama pasukan penguat kuasa MBM itu turut memeriksa pematuhan SOP di premis-premis untuk memastikan mereka mengikut waktu perniagaan yang dibenarkan.

“Sehubungan itu, semua aktiviti perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran atau permit sah daripada MBM telah diarahkan tutup,” katanya.

Sementara itu, semakan semula SOP yang ditetapkan JPBNS di kawasan Zon Merah dikuatkuasakan bermula 13 April lalu sehingga notis lanjut.

MBM menggesa semua pengusaha perniagaan memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi arahan terbabit.

“SOP yang dikenakan ini juga adalah demi keselamatan dan nyawa anda juga serta orang di sekeliling kita.

“Dalam pada itu, MBM juga akan meningkatkan kekerapan operasi pemantauan oleh penguatkuasaan untuk memeriksa pematuhan SOP di tempat awam dan premis-premis perniagaan di bawah bidang kuasa MBM,” katanya.

Adam memberitahu, MBM juga telah mengarahkan anggota penguatkuasaan bertugas selepas jam 10 malam untuk mengawasi aktiviti perniagaan dan memastikan operasi dihentikan pada waktu yang ditetapkan itu.

“Kita tidak mahu seperti insiden yang berlaku baru-baru ini di mana terdapat beberapa pengusaha didapati mengabaikan SOP tersebut yang tidak menutup operasi perniagaan pada waktu ditetapkan,” ujar Adam.