News

MBM kerah pasukan rondaan jadi mata-mata perhimpunan sosial: Yii
Posted on : 18 May 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Pasukan Rondaan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dikerah mengesan penganjuran aktiviti perhimpunan sosial di kawasan kediaman di sini.

Datuk Bandar MBM Adam Yii berkata pasukan bertugas melaporkan aktiviti tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) untuk tindakan termasuk mengemukakan notis kompaun sekiranya melanggar peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini merupakan peranan baharu mereka iaitu sebagai mata-mata kepada JPBBM untuk mengenal pasti perhimpunan sosial yang boleh mengelak kawasan kediaman menjadi ‘titik panas’ penyebaran wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Yii berkata, penguatkuasaan akan ditingkatkan melihat kepada peningkatan kes positif di sini termasuk kluster baharu daripada aktiviti sosial.

Menurutnya, pada 14 Mei lalu, JPBBM mengenal pasti lima kluster jangkitan berpunca dari perhimpunan sosial dan antara terbaharu adalah Kluster Jalan Lilin dari penganjuran parti hari jadi.

Mengenai Pasukan Rondaan, beliau berkata ia ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Penduduk (JKP) membuat rondaan membantu polis membendung aktiviti jenayah seperti kecurian, merosakkan harta awam dan pecah rumah.

“Idea penubuhannya adalah bermula pada 2017, setahun setelah saya dilantik sebagai Datuk Bandar MBM.

“Pasukan itu disertai sukarelawan dan penubuhannya banyak membantu pihak berkuasa mengurangkan kes-kes jenayah di kawasan kediaman,” jelasnya.

Yii berkata, antara contoh terbaik adalah di kawasan Pujut dan Krokop dengan pelbagai kejayaan aktiviti pencegahan jenayah.

“Oleh itu, amat sesuai mereka melakukan tugas masyarakat ini bagi mengesan perhimpunan sosial kepada JPBBM,” katanya.