News

1508 pekerja kedai makan di Miri divaksin
Posted on : 19 Jul 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

Yii bersama Datuk Sebastian Ting ketika melakukan kunjungan di salah sebuah kedai makan di pusat komersial Pelita.

MIRI: Seramai 1,508 pekerja dari 240 kedai makan di sini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19. 

Datuk Bandar Adam Yii berkata, penerimaan suntikan di kalangan pekerja dan pengusaha antara syarat membenarkan pelanggan 'dine in' atau makan di kedai yang bermula hari ini. 

"Untuk pekerja kedai makan yang masih belum menerima vaksin, mereka boleh menghubungi Puan Juraila di talian 0197216684 di Majlis Bandaraya Miri untuk pendaftaran keutamaan vaksinasi," jelas beliau dalam kenyataan medianya. 

Yii menambah,  untuk memastikan kedai makan tidak berpotensi sebagai kluster jangkitan, pengusaha harus memastikan premis dan pelanggan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan yang ditetapkan. 

Ia termasuk mengimbas kod QR MySejahtera, pemeriksaan suhu badan, pemantauan penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan memastikan jumlah kapasiti 50 peratus orang di premis pada setiap masa. 

Pengusaha yang gagal mematuhi garis panduan akan berdepan denda RM1,500. 

Untuk kesalahan berulang, mereka bakal berdepan arahan penutupan premis selama 14 hari dan pembatalan lesen. 

Beliau menambah, pengusaha yang tidak mematuhi SOP akan berdepan hukuman lebih berat sekiranya premis mewujudkan kluster jangkitan baharu. 

"Dan untuk kesalahan tidak mematuhi SOP sehingga mewujudkan kluster jangkitan, premis harus ditutup selama 14 hari, melakukan kerja-kerja pembersihan mendalam dan semula kos untuk ujian calitan kepada pekerja serta kerja pembersihan akan ditanggung oleh pengusaha, " tegas Yii. 

Dalam pada itu, Miri khasnya dan Sarawak amnya telah berjaya melandaikan lengkung penularan COVID dalam tempoh beberapa minggu lalu. 

Menurut Yii, ia hasil perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 28 Mei lalu, peningkatan jumlah penduduk yang menerima vaksin serta kerjasama penduduk secara keseluruhannya. 

"Kerjasama semua membantu memastikan situasi dalam keadaan terkawal. Dengan pembukaan lebih banyak sektor perniagaan bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara, orang awam diingatkan untuk lebih peka terutamanya terhadap penularan varian jangkitan baharu seperti varian Delta."

Kerjasama semua juga diperlukan untuk mengelak peningkatan kes ketika pembukaan lebih banyak sektor ekonomi pada masa sekarang.