News

PBT dituntut bantu pulih ekonomi pasca COVID-19
Posted on : 23 Jul 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

Abang Johari, Dr Sim, Penguang dan Jaul pada Upacara Angkat Sumpah Semula Ahli-Ahli Majlis PBT, hari ini.

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu ada pendekatan tersendiri dalam membantu memulihkan ekonomi masyarakat termasuk peniaga kecil di bawah kawasan masing-masing semasa pasca COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak telah melancarkan strategi ekonominya untuk memulihkan keadaan rakyat dan negeri ini setelah krisis kesihatan ini selesai.

Katanya beliau tidak tahu bila COVID-19 akan berakhir, tetapi ada tanda-tanda bahawa Sarawak dapat mengawalnya dan masa akan sampai untuk Sarawak membuka ekonomi.

“Saya minta supaya pihak kerajaan tempatan juga punyai dasar untuk membantu masyarakat termasuklah para peniaga kecil. Adaptasikan apa yang telah kita umumkan semalam dalam strategi pemulihan ekonomi kita (Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 atau PCDS 2030) sebagai panduan untuk pihak kerajaan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Upacara Angkat Sumpah Semula Ahli-Ahli Majlis PBT yang diadakan secara maya dan turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, hari ini.

Menurut Abang Johari, kerajaan Sarawak akan menempatkan Pusat Internet di kawasan Jawatankuasa Kemajuan Kampung dan juga kawasan di bawah PBT di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC). 

Sehubungan itu beliau meminta PBT agar memanfaatkan teknologi dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat. 

Teknologi ini katanya sudah digunakan di Miri dan Kuching dan beliau meminta pihak kerajaan tempatan yang lain berusaha menggunakan teknologi ini dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di bawah PBT masing-masing. 

Mengenai upacara angkat sumpah semula ahli-ahli PBT tersebut, Abang Johari berkata beliau mengucapkan tahniah kepada semua ahli PBT yang disambung semula perkhidmatan. 

Katanya perkhidmatan ahli PBT adalah sangat penting sebagai barisan hadapan kepada masyarakat. 

“Anda telah menjalankan tugas dengan sangat baik dalam menyebarkan maklumat mengenai bahayanya COVID-19 dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk mengekang penularan COVID-19. 

“Dengan usaha tersebut, kita dapat menjangkau rakyat kita khususnya ketika melaksanakan program vaksinasi kepada kumpulan sasar,” katanya.