News

MBM minta kerjasama polis pantau aktiviti main layang-layang
Posted on : 01 Sep 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) meminta kerjasama pihak polis untuk memantau aktiviti permainan layang-layang di tempat awam. 

Datuk Bandar Adam Yii (gambar) berkata, pengawasan pihak berkuasa diperlukan untuk memastikan aktiviti permainan itu tidak mengancam keselamatan awam. 

"Melihat kepada perkembangan kejadian tidak diingini, saya telah menulis surat kepada polis untuk meminta bantuan mereka memantau aktiviti ini yang banyak dijumpai di tempat awam terutamanya di Tudan, Permyjaya, Luak serta di kawasan lain," jelas Yii dalam kenyataannya hari ini. 

Yii meminta kerjasama polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya berlaku insiden tidak diingini akibat aktiviti itu. 

Menurut Yii, permainan itu sewajarnya dimainkan di tempat terbuka luas yang jauh dari jalan raya, pusat komersial dan kediaman sesak. 

Beliau kesal aktiviti itu telah menimbulkan banyak aduan dan masalah kepada penduduk termasuk pengguna jalan raya. 

Menurutnya, banyak aduan diterima termasuk kecederaan dan kemalangan akibat aktiviti ini. 

"Pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) juga menerima aduan awam menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas demi keselamatan awam." tegasnya. 

Sehubungan itu, Yii meminta pengguna media sosial untuk tidak membuat sebarang tuduhan melulu terhadap kejadian disebabkan aktiviti itu. 

Dakwaan tidak berasas dikhuatiri mengganggu gugat ketenteraman dan keharmonian. 

Yii ketika mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MBM turut mengutarakan isu tersebut yang dikendalikan secara maya pada hari ini.

Menurutnya permainan layang-layang boleh menjadi tidak selamat dan mendatangkan bahaya kepada umum. 

Antara penyebab kecederaan ialah benang layang-layang terputus yang tergantung di tengah jalan dan kawasan kediaman. 

Berkongsi pengalaman, Yii memberitahu, isteri beliau hampir menjadi mangsa cedera terkena tali layang layang, kelmarin ketika hendak keluar dari kereta namun berjaya mengelak benang yang tergantung di anjung kereta kediaman mereka.

"Permainan layang-layang ini boleh menjadi serius dan bahaya. Kelmarin ketika di anjung kereta. Isteri saya bila di balik ke rumah dan keluar dari kereta, beliau nyaris terhiris sendiri. Tidak disangka ada benang layang-layang di anjung kereta, " jelasnya. 

Menurut Yii, kejadian itu menjadikan permainan layang-layang telah menjadi tidak selamat dan mendatangkan bahaya. 

"Pihak majlis menyeru orang awam yang bermain layang layang untuk bermain di tempat terbuka bukan di tepi jalan dimana benang boleh memberi kecederaan serius khasnya kepada penunggang motosikal," tegur Yii. 

Beliau menambah banyak kes kecederaan disebabkan benang layang-layang dalam kalangan penunggang motosikal dilaporkan kepada pihak berkuasa.