News

Dapatkan surat perakuan vaksinasi MBM untuk beroperasi
Posted on : 01 Sep 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Pengusaha premis makanan sekali lagi diingatkan untuk mendapatkan Surat Perakuan Vaksinasi COVID-19 dari Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Datuk Bandar Adam Yii (gambar) berkata surat itu sebagai pengesahan majikan dan kakitangan menerima vaksin sebelum dibenarkan beroperasi dan menyediakan makanan. 

"Syarat wajib tersebut dikenakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sejak pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara bermula 14 Julai lalu," jelas beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MBM secara maya di sini hari ini.

Premis termasuk pusat makanan, medan selera, restoran, bistro dan kedai makan bawah bidang kuasa MBM. 

Menurut Yii, pada 19 Julai lalu, Seksyen Kesihatan Awam telah mengedarkan notis kepada pengusaha untuk mematuhi syarat tersebut. 

MBM telah melakukan latihan untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi di kalangan pengusaha dan pengendali makanan.

"Difahamkan, majoriti premis makanan telah mematuhi syarat dikehendaki," tambah Yii.

Selain lengkap dua dos vaksin, pemohon perlu memiliki salinan sijil digital vaksinasi dari aplikasi MySejahtera, mengemukakan Borang Pengesahan Bagi Maklumbalas Vaksinasi COVID-19 untuk mendapat surat perakuan. 

Mereka boleh menggunakan kod QR di borang atau memuat turun borang dari online link disediakan MBM untuk pengisian maklumat secara maya. 

"Surat akuan akan diserahkan dalam tempoh seminggu setelah pihak majlis menerima borang dan setelah proses pengesahan, " jelas Yii. 

Dalam pada itu, orang awam digalak untuk memanfaat dan memuat turun aplikasi Sarawak Smart City di telefon pintar mereka. 

Yii berkata, perisian solusi itu memiliki semua fungsi aplikasi berkaitan perlaksanaan bandar raya pintar Miri bawah The Miri Smart City Proof of Concept (POC).

Projek dilaksanakan seiring inisiatif ekonomi digital yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 12  April lalu. 

Ia turut mengandungi aplikasi Miri CARES yang direka untuk orang awam membuat aduan, maklum balas dan cadangan meningkatkan kualiti perkhidmatan MBM.

Sembilan aplikasi lain bawah solusi POC ialah Smart City App, Smart Bus (Bas), Miri Tourism (Pelancongan), Safe City and Safe Park (Bandar Raya dan Taman) Digital Signage (Papan Tanda), Smart Trak (Trak), Smart Drain (Perparitan), eLA2 (Local Agenda) dan Command Centre. 

Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September, Yii menggesa penduduk dan pemilik premis untuk mengibar bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak sehingga 20 September.

Mereka juga digalak memasang lampu perayaan untuk memeriahkan dan menghidupkan suasana sambutan.