News

Sayangi Miri ikon baharu pelancongan Miri
Posted on : 15 Sep 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

(dari dua kanan) Andy, Dennis, Ting, Yii bergambar di hadapan papan tanda Sayangi Miri

MIRI: Papan tanda Sayangi Miri telah siap dipasang di hadapan bekas pejabat Residen dijangka mampu menjadi tarikan baharu pelancongan di sini. 

Projek dilaksanakan Persatuan Wartawan Utara Miri (NSJA) itu, dirasmikan malam tadi oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting. 

Ia mula dibina hujung Julai dan siap pada hujung Ogos. 

"Dengan adanya ikon baharu ini akan membantu mempromosikan industri pelancongan Miri," jelas Ting.

Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau memberitahu, inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Miri dan kementerian beliau.

Terletak di tengah-tengah pusat bandar raya, papan tanda itu pasti akan mewarnai dan menghidupkan suasana di sekitar kawasan tersebut. 

"Selain mencantikkkan kawasan ini, ia boleh menjadi kenangan bukan sahaja pelancong tetapi penduduk Miri dengan bergambar di sini," jelasnya.

Kementerian katanya sentiasa bersedia untuk membangunkan semula industri pelancongan yang terkesan oleh penularan jangkitan COVID-19 selama hampir dua tahun. 

Beliau berharap setelah memasuki fasa endemik dan situasi yang lebih selamat, lebih 190 aktiviti yang dirancang tahun lalu akan dilaksanakan pada tahun hadapan. 

Hadir sama ADUN Telang Usan yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau, Datuk Bandar Adam Yii dan Pengerusi NSJA, Andy Jong.