News

Projek Miri Sentral bernilai lebih RM23 juta bermula bulan depan
Posted on : 16 Nov 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

Abang Johari melakukan acara pecah tanah, sambil disaksikan yang lain, di tapak projek di Jalan Miri–Bypass hari ini. - Gambar Penerangan

MIRI: Projek Miri Sentral yang menelan kos RM23.22 juta dan dijangka siap pada 2024, bakal menjadi hab pengangkutan baharu untuk bandar raya ini, demikian kata Setiausaha Majlis Bandaraya Miri, Morshidi Fredrick.

Beliau menambah bahawa dengan siapnya projek itu kelak, Miri akan dihubungkan secara stategik dengan Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah serta wilayah tengah dan selatan, iaitu dari Bintulu hingga ke Pontianak di Kalimantan, Indonesia.

"Tapak Miri Sentral yang terletak berhampiran dengan Lebuhraya Pan Borneo dan juga jalan penghubung ke Marudi pada masa depan, merupakan lokasi yang sangat strategik," katanya semasa menyampaikan taklimat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini. 

Perasmian majlis pecah tanah projek yang dicadangkan itu disempurnakan oleh Abang Johari, hari ini. 

Terminal bas baharu itu kelak akan menempatkan 12 unit premis menjual tiket, 10 unit kedai runcit, 21 ruang untuk platform bas, dua unit kafe, 12 ruang teksi, ruang menunggu dan tandas.

Morshidi berkata projek itu akan bermula bulan depan dan dijangka siap pada Januari 2024.

Terminal bas semasa bandar ini terletak di Pujut Corner.

Beliau berkata kedudukan terminal bas ketika ini tidak strategik kerana terletak berhampiran kawasan perumahan, selain jalan sempit, yang menimbulkan kebimbangan keselamatan dan kesukaran untuk kenderaan berat keluar masuk terminal.

“Kesesakan lalu lintas di terminal yang sedia ada juga menjadi isu terutama pada waktu puncak,” katanya.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Prof. Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Antonio Kahti Galis dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.