News

Teknologi canggih akan diguna pakai, hubungkan terus pengguna dengan PBT
Posted on : 16 Nov 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

IKONIK: Bangunan Dewan Bandaraya Miri yang terletak Marina Parkcity dan mengadap Laut Cina Selatan, dirasmikan semalam, oleh Abang Johari ini. – Gambar ihsan MBM

MIRI: Kerajaan negeri akan mengadaptasikan penggunaan teknologi canggih seperti yang diguna pakai di Korea Selatan, di bandar-bandar utama di Sarawak, yang akan menghubungkan pengguna terus dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan teknologi berkenaan sudahpun bermula di Miri, selaku perintis kepada Bandaraya Pintar di negeri ini, sebelum ia dikembangkan ke bandar utama lain seperti Sibu, Bintulu dan Kuching selaku Pusat Arahan (command centre) kelak. 

“Kerjasama kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Miri (MBM), menyaksikan Miri melangkah maju dengan mengadaptasikannya sebagai Bandaraya Pintar di mana semua rangkaian yang menggunakan teknologi digital akan dihubungkan, termasuk utili dan kemudahan awam yang lain. 

“Semuanya akan dihubungkan terus kepada MBM (sebagai pusat arahannya di Miri) dengan lebih ramai penduduk di Miri akses kepada setiap perkhidmatan termasuk bayaran cukai, yang kini boleh dilakukan di hujung jari sahaja, menerusi telefon bimbit,” katanya pada sidang media di sini, selepas merasmikan bangunan baru Dewan Bandaraya Miri hari ini. 

Abang Johari berkata, sebagai Bandaraya Pintar juga, penduduk di sini hanya perlu melakukan pelbagai bayaran di hujung jari sahaja, menerusi Sarawak Pay yang kini dinamakan sebagai S Pay Global. 

“Ini adalah capaian hubungan baru antara rakyat dengan PBT menerusi hubungan digital. 

“Tahniah kepada MBB dengan bimbingan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) di atas kejayaan projek printis ini. 

Malah di bawah konsep Bandaraya Pintar ini juga, orang awam yang melakukan larian atau joging di tempat awam dan terkena serangan jantung, boleh berhubung terus dengan pihak perubatan, yang akan datang terus kepada pesakit sebaik mereka dapat mengesan kedudukan. 

“Ini adalah hubungan awam dengan sambutan digital. 

“Kedua ialah kawasan-kawasan strategik yang dihubungkan terus dengan kamera yang berfungsi secara 360 darjah. Ini membolehkan anda berhubung terus dengan pihak berkuasa MBB yang berkaitan dan mereka akan tahu apa yang berlaku sekitar bandar raya ini,” tambahnya. 

Mengenai Dewan Bandaraya Miri yang baru dirasmikan, Abang Johari pada sidang media tersebut semalam memberitahu, bangunan baru menyerupai ‘tong minyak’ yang bernilai RM92 juta (termasuk tanah manakala kos pembinaan bangunan RM70 juta) adalah lambang pencapaian pembangunan di Miri serta perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.  

Pembinaannya sudah dirancang sejak 10 tahun lalu, namun disebabkan kekangan simpanan kewangan pihak berkuasa tempatan itu, maka ia terpaksa ditangguhkan. 

Namun pada majlis makan Hari Bandaraya Miri anjuran MBM pada 2018, Abang Johari mengumumkan kerajaan akan memberi peruntukkan menerusi dana khas, bagi merealisasikan pembinaan dewan bandaraya itu, tanpa perlu menganggu kewangan MBM, yang digunakan untuk menguruskan bandar raya Miri oleh pihak Majlis.  

Bangunan ini adalah cukup ikonik dan ia adalah Indeks Bangunan Hijau (BGI), sebahagian daripada usaha MBM dan juga kerajaan negeri untuk menghadapi pasca COVID-19 dengan strategi pemulihan ke arah melaksanakan kemampanan alam sekitar dengan Miri memulakan langkah ini. 

BGI ialah alat penarafan hijau yang diiktiraf industri di Malaysia untuk pembinaan bangunan bagi menggalakkan kemampanan dalam persekitaran binaan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemaju, arkitek, jurutera, perancang, pereka, kontraktor dan orang awam tentang isu alam sekitar dan tanggungjawab terhadap masa depan generasi. 

Abang Johari berkata, bangunan ini juga melambangkan perpaduan di kalangan penduduk di Miri dan pembangunan pada depan di Sarawak. 

Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato' Sri Lee Kim Shin, mantan timbalan ketua menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting; Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datu Dr Penguang Manggil serta Datuk Bandar Miri, Adam Yii.