News

MBM rancang bina Dewan Bandaraya Miri fasa dua di kawasan laut
Posted on : 16 Nov 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

TERIMALAH: Yii menyampaikan cenderamata berbentuk potret Dewan Bandaraya Miri kepada Abang Johari, sambil disaksikan Penguang (tengah).

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) merancang untuk membina Dewan Bandaraya Miri fasa kedua di kawasan laut.

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, konsep dan reka bentuk rancangan itu sudah dibincangkan dan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

“Mengikut perancangan, bangunan fasa kedua ini akan dibina di kawasan laut dan disambung dengan Dewan Bandaraya Miri utama menggunakan jambatan.

“Keseluruhan konsep bangunan kedua ini berdasarkan reka bentuk pelantar pengeluaran minyak pesisir pantai. Ini akan menambahkan keunikan bangunan utama yang menyerupai tong minyak sekali gus melambangkan idenditi Miri sebagai bandar pengeluaran minyak dan gas,” katanya.

Yii berucap pada majlis perasmian Dewan Bandaraya Miri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Marina Parkcity hari ini.

Menurut Yii, MBM akan mengemukakan pelan pembinaan fasa kedua Dewan Bandaraya Miri kepada Ketua Menteri dalam masa terdekat untuk nasihat, sokongan dan kelulusan.

Mengenai Dewan Bandaraya Miri yang dirasmikan hari ini Yii berkata, bangunan yang menghadap Laut China Selatan ini merupakan mercu tanda baharu dan lambang kemajuan Miri.

“Bangunan ini bukan hanya melambangkan Miri status Miri sebagai pengeluar minyak dan gas utama di wilayah ini malah ia membuktikan Miri kian maju dan membangun,” katanya.

Ujar Yii, bangunan itu mengambil masa selama 28 bulan untuk siap.

Projek yang sepatutnya siap pada 24 Disember tahun lalu telah tertangguh selama 10 bulan kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan jangkitan COVID-19.

Beliau gembira kerana projek ini siap dalam tempoh dua tahun dan dalam anggaran peruntukan yang diluluskan.

Katanya, sesemua sembilan tingkat bangunan ini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar dan memperolehi pensijilan Indeks Bangunan HIjau (GBI).

“Saya mewakili MBM dan warga Miri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri di atas kelulusan dan peruntukan untuk merealisasikan pembinaan dewan bandaraya ini.”

“Ia akan menambah daya tarikan kepada pelancong, pelawat dan warga Miri sendiri,” katanya.

Pada masa yang sama, MBM kini sedang melaksanakan lima projek penambahbaikan Miri sebagai bandar raya pelancongan.

Ia meliputi pembinaan laluan berbasikal sepanjang Jalan Peninsular berhampiran Kelab Golf Miri, pembinaan papan tanda besar Miri di Bukit Kanada, pintu gerbang di Pintu Masuk Sungai Tujoh, pembinaan esplanade di Batu Satu Kuala Baram dan menaiktaraf Luak Esplanade.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil dan dif kenamaan lain.