News

Sistem Kumbahan Serantau Miri Fasa I dijangka beroperasi tengah 2022
Posted on : 30 Dec 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

Lee, Lau, Yii dan Frederick meninjau Loji Rawatan Kumbahan Serantau Miri Fasa I yang dijangka beroperasi sepenuhnya pertengahan 2022.

MIRI: Rangkaian Paip Pembetungan dan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Miri Fasa 1 kini hampir siap dan dijangka beroperasi pada pertengahan 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, fasa ini meliputi kawasan komersial Miri yang mempunyai kepadatan tinggi meliputi tiga komponen iaitu Rangkaian Paip Pembetung (Pakej A), Loji Rawatan Kumbahan Berpusat (Pakej B) dan penyambungan ke premis/kediaman/harta awam (Pakej A).

Lee berkata, bagi pakej A kini mencecah 97.38 peratus pembinaan manakala pakej B 97.78 peratus.

“Pakej A bermula pada Mac 2017 manakala pakej B pada 2019. Berlaku sedikit kelewatan kerana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan. Namun saya berpuas hati kerana kedua-dua projek ini berjalan lancar dan hampir siap. Kita menjangkakan ia dapat beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas taklimat Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak, Datu Ir Lau Hieng Ung di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Miri berhampiran Hutan Simpan Tudan hari ini.

Hadir sama, ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii dan Setiausaha MBM, Morshidi Frederick.

Lee menambah kerja-kerja pembinaan yang sedang dilaksanakan setakat 27 Dis meliputi rangkaian paip tertier di Pusat Komersial Boulevard, Pusat Komersial Pelita, Jalan North Yu Seng, Stadium Tertutup dan terbuka, Jalan Bendahara, Jalan South Yu Seng dan Jalan Unus.

Manakala penyambungan paip ke rangkaian pembetung ke premis, kediaman dan harta awam meliputi kawasan Pusat Komersial Pelita, Pusat Komersial Boulevard, Jalan Indica, Jalan Permaisuri dan Jalan Unus.

Lee menambah, kerja-kerja fizikal ini dijangka siap pada Mac 2022.

Apabila siap nanti, air dari sisa premis seperti perumahan, kedai, institusi atau kompleks akan dikumpul dan disalurkan menggunakan pembetung dari kawasan tersebut ke loji rawatan.

Sementara itu, fasa kedua rangkaian paip pembetung ini akan dibina di Lutong, Senadin dan Permyjaya diikuti Taman Tunku, Riam, Luak dan Bakam (fasa ketiga) dan Tudan dan Kuala Baram (fasa keempat).

Dalam pada itu Lee mahu Majlis Bandaraya Miri (MBM) bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak dan kontraktor yang terlibat bagi mengkaji dan mengumpul data jalan yang perlu diperbaiki untuk keselesaan pengguna.