News

Taman Awam Miri Perlu Pembaikan Segera Sebagai Pusat Rekreasi Utama Miri
Posted on : 30 Dec 2021  Source of News: UKAS
 

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu segera menaik taraf, membaik pulih, penyelenggaraan dan pembaikan Taman Awam Miri. 

Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, ini disebabkan banyak maklum balas diterimanya daripada orang awam meminta MBM menaik taraf taman awam berusia 24 tahun itu. 

Bagaimanapun, peruntukan yang besar diperlukan bagi menaik taraf keseluruhan Taman Awam Miri itu yang seluas lebih 20 ekar dalam usaha mengekalkannya sebagai Pusat Rekreasi Utama Miri.

“Kita memerlukan bajet yang besar untuk menaik taraf Taman Awam Miri. 

“Saya mencadangkan MBM membuat kertas cadangan teknikal secara rapi dan menyeluruh untuk menaik taraf kerana taman itu yang merupakan satu-satunya taman awam di bahagian selatan bandar raya ini,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan insiden tanah runtuh yang berlaku di Taman Awam Miri pada Rabu. 

Insiden tersebut berlaku setelah hujan lebat turun pada 17 Disember lepas dan mengakibatkan longkang Taman Awam Miri itu tersumbat. 

Ketika ini, kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan MBM dan keadaan terkawal.

Sementara itu, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, segala aduan masyarakat kepada MBM harus dilakukan dengan tepat dan mengikut prosedur ditetapkan. 

Katanya, ini dilakukan melalui Ahli Majlis Bandaraya Miri, jawatankuasa penduduk, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Sistem Talikhidmat dan Miri CARES.

Hadir sama Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Morsidi Fredrick, Pegawai Hortikult MBM Chee Kie Chang dan Kapitan Jee kee Hiong.-EDISI UKAS