News

MBM seru kerjasama lanjutkan jangka hayat tapak pelupusan sampah Bekenu
Posted on : 07 Jun 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

Julaihi (lima kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil JCI Lutong sambil disaksikan Karambir (empat) kanan dan wakil MBM dan JCI yang lain hari ini.

MIRI: Pengurusan sisa buangan terutama lebihan sisa makanan untuk dijadikan baja kompos perlu diperluas bagi membantu usaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) melanjutkan jangka hayat tapak pelupusan sampah Bekenu.

Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad berkata, MBM membelanjakan peruntukan yang besar menggunakan duit rakyat untuk menambah kapasiti bagi menampung jumlah sisa buangan yang meningkat.

“Untuk membina satu sel sahaja melibatkan jutaan pembayar cukai, sedangkan sel ketiga tapak pelupusan ini sudah pun penuh.

"MBM terpaksa membina dua sel interim yang menelan kos berjuta-juta bagi menampung keperluan.

“Namun melalui pengurusan sampah yang betul termasuk pengkomposan dapat mengurangkan sisa buangan sehingga lima peratus,” katanya.

Julaihi berkata demikian ketika merasmikan bengkel pengkomposan sempena Hari Pengkomposan Sedunia di Miri Green Community Hub di Taman Yakin dekat sini, hari ini.

Katanya MBM sedang membina sel keempat memandangkan yang sebelum ini kesemuanya sudah penuh.
 
“Malah saya sendiri sudah lapan tahun tidak menggunakan tong sampah di rumah.

“Semua sisa makanan diproses menjadi baja kompos menggunakan kaedah Bokashi dan sisa buangan organik itu dijadikan baja untuk kebun,” katanya yang turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Komuniti Hijau dan Pembangunan Alam Sekitar.

Jika semua warga Miri dapat menggunakan kaedah ini, ia dapat menjimatkan ruang di tapak pelupusan sampah, katanya.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa tetap Kaunselor Karambir Singh berterima kasih kepada Junior Chamber International (JCI) Lutong atas kerjasama untuk menjayakan program sempena Hari Pengkomposan Sedunia.

“Selama bertahun-tahun, MBM telah berusaha ke arah kelestarian alam sekitar dan dengan program hari ini, kita berada di landasan untuk meningkatkan kesedaran tentang penggunaan bertanggungjawab.

"Hasrat kita adalah untuk mewujudkan komuniti tanpa pembaziran,” katanya.

Karambir menggalakkan mereka yang ingin belajar kompos untuk datang ke pusat hab komuniti hijau kerana bengkel itu akan berlangsung dari semasa ke semasa.