News

Pertambahan 'pump track' untuk trek basikal ekstrem di Taman Bulatan
Posted on : 07 Jun 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

Ting dan Yii bersama para peserta larian daripada kumpulan Laksa Runner Miri.

MIRI: Cadangan pembinaan 'pump track' atau trek berbonggol untuk aktiviti basikal ekstrem yang menelan kos RM600,000 di Taman Bulatan di sini, akan dimulakan pelaksanaannya oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) selepas proses akhir selesai dalam masa terdekat. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting memberitahu, peruntukan projek itu yang sudah dimohon beliau di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021 sudahpun diluluskan tahun ini. 

"Kini saya serahkan kepada MBM untuk proses perlaksanaannya dan saya kira kajian mengenainya sudah berada di peringkat akhir untuk mereka memulakan projek itu kelak," jelas beliau kepada pemberita di sini selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Maraton 10km Terbuka di Taman Bulatan di sini, hari ini. 

Pertandingan larian itu dianjurkan Kelab Larian Bulatan Miri (BMRC) sempena pembukaan trek baharu sepanjang 1.7 kilometer (km) yang bersambung dengan trek sedia ada sepanjang 0.8km, menjadikan Taman Bulatan Miri memiliki trek sepanjang 2.5km, satu rekod baharu bagi taman awam milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak. 

Ting memberitahu, apabila projek itu siap kelak Taman Bulatan yang terletak di tengah-tengah bandar raya Miri bakal menjadi taman awam PBT yang pertama di Sarawak dan Malaysia memiliki trek untuk sukan ekstrem itu. 

Projek cadangan 'pump track' itu sebelum ini diusulkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat Shin Yang Datuk James Ling kepada pihak MBM dan Ting berikutan banyak permintaan yang diterima daripada orang awam khususnya peminat sukan ekstrem itu ketika beliau melaksanakan projek menaik taraf beberapa kemudahan di taman berkenaan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat. 

Ling dalam ucapan alu-aluannya sebelum itu memberitahu, kos pembinaan 'pump track' itu agak tinggi dan ia merupakan projek utama bagi taman PBT itu, justeru menyerahkannya kepada MBM untuk pertimbangan. 

Di bawah program CSR syarikat, James berkata pihaknya sudahpun siap membina sambungan trek larian sepanjang 1.7km, selain membina bumbung di kawasan dek di kolam berkenaan yang berjaya disiapkan kurang daripada tempoh dua bulan yang dijadualkan. 

Beliau yang melahirkan keprihatinannya kepada keperluan rakyat dalam mengamalkan budaya hidup sihat berkata, pihaknya turut bercadang membina gim terbuka, selain menaik taraf gelanggang bola keranjang yang ada namun sudah terbiar di taman berkenaan. 

"Saya sedar tidak semua orang mampu membayar harga untuk pergi ke pusat kecergasan, sedangkan amalan bersukan dan beriadah ini bukan sesuatu yang harus dibayar tetapi dinikmati. 

"Justeru saya (Samling) akan membina gim terbuka dan memperbaiki gelanggang bola keranjang, selain membina trek larian ini untuk membolehkan semua warga Miri menikmati kemudahan bersukan dan riadah di taman ini secara percuma," katanya. 

Beliau turut berterima kasih kepada MBM yang memberi kepercayaan kepadanya untuk melaksankan program CSR syarikat dengan menaik taraf pembangunan dan kemudahan di taman awam berkenaan yang juga pusat beriadah kegemarannya. 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Bandar merangkap ADUN Pujut Adam Yii, Pemangku Setiausaha MBM Abdul Rahman Taufik serta ahli-ahli majlis yang lain.