News

Logo gergasi MIRI di puncak Bukit Kanada jadi tarikan pelancong
Posted on : 21 Jul 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

Papan tanda gergasi MIRI yang berdiri megah di puncak Bukit Kanada. 

MIRI: Didirikan megah di puncak Bukit Kanada, logo gergasi MIRI yang dibina di situ, kini menjadi salah satu tarikan kepada pelancong yang datang ke sini, bukan hanya untuk bergambar malah menikmati pemandangan indah bandar raya peranginan Miri dari situ. 

Berwarna serba putih, papan tanda gergasi MIRI itu sepanjang 37 meter dan setinggi 18 meter menghadap bandar raya Miri serta Laut Cina Selatan. 

ADUN Pujut yang juga Datuk Bandar Miri Adam Yii yang merasmikan papan tanda gergasi itu semalam berkata, lebih bermakna pembinaannya di puncak Bukit Kanada itu bersebelahan dengan Muzium Sains Petroleum Miri dan replika telaga minyak 'Grand Old Lady' serta struktur 'Keldai Mengangguk' iaitu sebuah struktur yang berkaitan dengan pembukaan awal industri minyak dan gas (1910) di negara ini.

Kerja-kerja pembinaan papan tanda itu yang disokong empat tiang utama telah dimulakan pada Februari lalu. 

Ia merupakan usaha dan komitmen terkini Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk membangunkan lebih banyak tempat tarikan pelancongan di bandar raya ini. 

Namun begitu, kerja-kerja pembinaannya perlu melalui dua semakan atau penilaian kualiti bagi tujuan mengukuhkan lagi struktur untuk menahan cuaca buruk di puncak bukit serta untuk membuka ruang bagi menyediakan sistem pencahayaan di sekitar papan tanda itu. 

Usaha meletakkan papan tanda MIRI di atas Bukit Kanada yang juga dikenali sebagai bukit telaga minyak itu, akan memberi nilai tambah yang penting kepada tempat berkenaan sekarang. 

"Selain itu, penduduk Miri percaya ia adalah tapak yang sesuai untuk menggambarkan bandar raya Miri yang pernah digelar sebagai 'bandar minyak', sebagai bandar yang amat dirahmati kerana mempunyai Bukit Kanada (kawasan berbukit) di belakangnya dan lautan yang luas terbentang di hadapannya. 

"Sebaik sahaja projek itu dibina dan siap sepenuhnya dengan lampu limpah, ia akan menjadi satu lagi struktur ikonik bandar raya Miri," jelas Yii.