News

300 dijangka sertai pertandingan memancing MBM, 18 September
Posted on : 25 Aug 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) meletakkan sasaran untuk menarik 300 peserta pertandingan memancing yang dijadualkan pada 18 September depan di Kolam MGP di Senadin.

Timbalan Datuk Bandar Miri Julaihi Mohamad berkata, pertandingan itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Hari Bandaraya Miri anjuran Jabatan Penilaian dan Pencukaian MBM. 

“Selain mendekatkan diri dengan rakyat di peringkat komuniti, objektif utama pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran yang lebih baik dalam kalangan pembayar cukai tentang keperluan mereka membayar cukai pintu tepat pada masanya.

“Ini kerana cukai adalah satu-satunya hasil bagi pihak Majlis untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat seperti penyelenggaraan jalan raya, pembersihan, lampu jalan, penyapuan dan perkara-perkara lain,” katanya ketika melancarkan Pertandingan Memancing di Dewan Bandaraya Miri hari ini.

Mengenai pertandingan itu beliau berkata, acara yang menawarkan hadiah wang tunai menarik kepada lima pemenang terbaik itu terbuka kepada sesiapa yang berminat termasuk dari luar Miri.

Juara bagi pertandingan itu akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 diikuti RM2,000 bagi tempat kedua, RM1,000 bagi tempat ketiga, RM500 untuk pemenang tempat keempat dan RM50 kepada pemenang tempat kelima.

Dengan bayaran penyertaan RM70 setiap pancing, beliau menegaskan terdapat rebat RM20 untuk pembayar cukai di Miri tertakluk kepada terma dan syarat tertentu seperti tiada yuran taksiran tertunggak dan bil taksiran tahun ini telah dibayar sepenuhnya.

“Peserta tempatan untuk pertandingan ini diberi masa lima hari untuk membuat tuntutan rebat bermula 19 September hingga 23 September.

“Tuntutan untuk rebat tersebut boleh dibuat di Aras 7 Dewan Bandaraya Miri dari jam 8 pagi hingga 5 petang,” tambahnya.

Julaihi memegang pancing sebagai simbolik melancarkan pertandingan MBM yang lain di Miri, hari ini.