News

Karnival Kebudayaan Musim Luruh di Miri pada 2-11 Sept
Posted on : 25 Aug 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Karnival Kebudayaan Musim Luruh akan diadakan dari 2 hingga 11 September depan di taman rekreasi Dataran Kipas Miri di sini. 

Karnival yang dianjurkan oleh Persatuan Klan Wu itu akan berlangsung selama 10 hari.

Ia dijadualkan diadakan di Taman Bulatan, namun kemudian ditukar ke lokasi baharu, Dataran Kipas Miri kerana ruang yang terhad di lokasi asal yang dicadangkan. 

Pengerusi persatuan Christopher Goh yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar Adam Yii baru-baru ini berkata, pertukaran tempat itu dibuat selepas mengambil kira jumlah aktiviti yang akan diadakan kelak dan juga orang ramai yang dijangka hadir untuk memeriahkan karnival berkenaan. 

“Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai tentang tempat baharu itu, bagi mengelak sebarang salah faham dan kami menantikan karnival itu yang bakal menjadi salah satu acara terbesar di Miri tahun ini,” tambahnya.

Semasa kunjungan hormat itu juga, Yii mengalu-alukan usaha persatuan itu menganjurkan acara seumpama itu dan mencadangkan kepada persatuan untuk memasukkannya sebagai acara tahunan di Miri.

“Sebelum pandemik COVID-19 melanda, terdapat banyak acara istimewa dilangsungkan di Miri yang berjaya menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa. 

"Oleh itu, kita berharap agar acara ini boleh menarik minta persatuan klan yang lain untuk bergilir menjadi penganjur, maka kita bakal menyaksikan satu acara besar yang mempunyai potensi pelancongan cukup besar pada masa akan datang,” jelas Yii.

Semasa lawatan itu juga, Goh menyampaikan surat jemputan kepada Yii untuk menghadiri majlis perasmian acara itu kelak.

Acara ini dijangka mempunyai slot yang berbeza untuk kedua-dua program hiburan dan gerai makanan serta minuman. 

Mereka yang berminat untuk mengambil bahagian boleh menghubungi Angela Hiew (013-8383690) atau Thng (016-8820213).Goh (kiri) menyampaikan surat jemputan kepada Yii ke majlis perasmian acara itu kelak.