News

Miri mempunyai apa yang diperlukan untuk anjurkan acara antarabangsa
Posted on : 19 Sep 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

Lee (lima kanan) menerima baju-T sebagai tanda cenderamata daripada Japar (lima kiri) pada program itu hari ini.

MIRI: Pertunjukan Betta Antarabangsa Grand Old Lady diadakan buat julung kali di sini membuktikan Miri mempunyai apa yang diperlukan untuk menganjurkan acara antarabangsa bagi memulihkan industri pelancongan selepas tempoh pandemik COVID-19. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata semasa pandemik lalu banyak sektor ekonomi termasuk pelancongan terjejas teruk. 

“Ramai kalangan anda menjalankan hobi mengumpul ikan Betta atau dikenali nama tempatan ikan laga. 

“Akhirnya bagi sesetengah orang, hobi itu bertukar menjadi perniagaan. 

“Saya gembira melihat hobi ini berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dengan mengadakan persembahan Betta antarabangsa menyaksikan peserta dari negara seperti Jepun, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura hadir,” katanya ketika merasmikan acara tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lee memuji penganjur atas usahanya mengangkat acara tersebut dan menggesa mereka mula merancang acara serupa tahun depan.

“Saya menyokong penuh acara seperti ini. Kami mahu mempromosikan Miri supaya lebih ramai pengunjung datang ke sini,” jelasnya. 

Sementara itu, pengerusi penganjur yang juga Presiden Kelab Pencinta Ikan Laga Miri Japar Amat berkata ia adalah kali pertama penganjuran seumpama ini diadakan di Borneo. 

Beliau berkata, sebanyak 1,331 ekor ikan Betta dibawa masuk oleh peserta dari luar dan dalam negara termasuk dari Sabah. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii.

Lee (lima kanan) menerima baju-T sebagai tanda cenderamata daripada Japar (lima kiri) pada program itu hari ini.