News

MBM komited capai Matlamat Pembangunan Mampan bandar raya Miri
Posted on : 19 Sep 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

Kumpulan Luggos Eco Warrior 1 dari SMK Lutong Miri menerima hadiah daripada Yii selepas diumumkan sebagai johan kategori sekolah menengah dalam ‘Upcycle Ocean Trash Competition 2022’ hari ini.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) komited dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 di bandar raya Miri dan menetapkan lima inisiatif bagi mencapai matlamat itu. 

Datuk Bandarnya Adam Yii berkata inisiatif pertama menyediakan penyelesaian untuk persediaan bencana dengan visi menyediakan produk dan perkhidmatan membantu meningkatkan daya tahan bencana dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan merealisasikan dunia lebih selamat dan terjamin.

“Inisiatif kedua adalah menyumbang kepada kesihatan dan kebajikan dengan visi untuk menyediakan penjagaan kejururawatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan melaksanakan projek menggalakkan kesihatan serta kebajikan dan mewujudkan masyarakat di mana semua orang dapat menjalani kehidupan memuaskan. 

“Inisiatif ketiga, mempromosikan kebolehurusan isu alam sekitar global dengan visi menyumbang kepada penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan matlamat alam sekitar global lain dengan bekerja melalui rantaian nilai dan menyediakan penyelesaian baharu. 

“Inisiatif keempat, memperkasa komuniti dan masyarakat melalui jangkauan komuniti dan inisiatif dalam budaya dan kesenian, meningkatkan kehidupan orang ramai dalam komuniti tempatan dan menjadi warga korporat paling dipercayai.

“Inisiatif kelima, menyokong kepelbagaian dan kemasukan dalam kehidupan peribadi dan awam dengan menghormati hak asasi manusia dan keperibadian pihak berkepentingan, menyokong mereka dalam usaha pembangunan profesional dan peribadi,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah ‘Upcycle Ocean Trash Competition 2022’ di sini hari ini.

Sehubungan dengan inisiatif itu Yii berharap rakyat Miri terus berdiri teguh dan memberi sepenuh kepercayaan kepada MBM dan Kerajaan Sarawak untuk memimpin demi kemajuan rakyat. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertandingan itu Yii berkata sebagai sebahagian daripada inisiatif Sarawak Lestari, ‘Upcycle Ocean Trash Competition 2022’ berjaya mencapai lima kriteria SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

“Lima SDG itu ialah SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari, SDG 13: Tindakan Iklim, SDG 14: Kehidupan Di Bawah Air, SDG 15: Kehidupan Di Darat dan SDG 17: Perkongsian Untuk Matlamat. 

“Pertandingan ini bermula pada 17 September di mana peserta perlu mencipta replika atau model ‘The Oil Barrel Building of Miri City Hall’, saya melihat beberapa replika dan amat kagum dengan kreativiti kitar semula sampah lautan kepada ciptaan bermakna,” jelasnya. 

Pertandingan kali ini menyaksikan kumpulan Talented Techies dari Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin Miri dan Luggos Eco Warrior 1 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong Miri masing-masing dinobatkan sebagai johan kategori sekolah rendah dan menengah. 

Masing-masing membawa pulang Sijil Kecemerlangan Anugerah Emas, trofi dan wang tunai berjumlah RM500. 

Sementara itu, Anugerah SDG Future Ocean Borneo dimenangi Upcycle Rangers dari SMK Pujut Miri membawa pulang sijil khas dan wang tunai berjumlah RM300. 

Manakala Anugerah Khas Unit SDG MBM dimenangi Luggos Eco Warrior 1 dari SMK Lutong membawa pulang plak kemenangan. 

Pertandingan kali ini dianjurkan bersama Future Ocean Borneo PLT, Unit SDG MBM, Pustaka Negeri Sarawak Miri, Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NJSA) dan Coco Cabana Miri serta ditaja oleh SapuraOMV Upstream Sdn Bhd. 

Hadir sama Pengasas Future Ocean Borneo dan Duta Alam Sekitar MBM Iqbal Abdollah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Hijau dan Alam Sekitar MBM Kaunselor Karambir Singh, Presiden NSJA Andy Jong, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Miri Razak Rambli, Pengurus Coco Cabana Miri Carolyn Marsh dan Pengurus Komunikasi SapuraOMV Razlina Ramli.