News

Premis guna minyak masak berulang kali akan dikenakan tindakan tegas
Posted on : 27 Sep 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Penggunaan minyak masak terpakai secara berulang kali oleh pengusaha premis makanan sekitar bandar raya ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, yang turut menyuarakan tentang perkara tersebut kepada pihak berkuasa tempatan. 

Datuk Bandar Adam Yii berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha premis yang didapati berulang kali menggunakan minyak masak terpakai untuk memasak. 

"Malah semakin ramai pengguna mengadu kepada kami dan menyatakan kebimbangan mereka terhadap penggunaan minyak masak kitar semula dalam perniagaan makanan di sekitar bandar raya ini," tambahnya.

Beliau memberitahu demikian semasa mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBM di dewan persidangan Majlis di sini, semalam.

Pemeriksaan bersama yang dijalankan Seksyen Kesihatan Awam dan Jabatan Penguatkuasaan MBM serta Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, baru-baru ini mendapati minyak masak yang telah diuji di premis-premis berkenaan menunjukkan beberapa bacaan melebihi tahap boleh diterima iaitu bacaan Total Polar Compound (TPC) lebih tinggi daripada 25 peratus yang dibenarkan. 

"Sehubungan itu, dua premis makanan di pusat komersial Bandar Baharu Permyjaya telah diberi amaran lisan dan notis telah diserahkan kepada mereka untuk menghentikan penggunaan minyak masak terpakai," tegasnya.

Yii yang juga ADUN Pujut berkata, MBM dengan kerjasama pihak berkuasa Kesihatan Awam dan pegawai kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa. 

"Orang ramai juga boleh membuat aduan atau mengemukakan maklumat mengenai perkara ini kepada MBM atau memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri," katanya.