News

MBM mahu pembayar cukai pintu kemas kini maklumat
Posted on : 31 Oct 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

Yii menyampaikan minyak masak kepada pembayar cukai semasa jerawaraya di Everwin pada Sabtu.

MIRI: Pembayar cukai taksiran (cukai pintu) di sini diminta untuk mengemas kini maklumat kepada Jabatan Pencukaian dan Penilaian Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Maklumat termasuk nombor telefon, alamat e-mel, alamat surat-menyurat yang terkini.

Datuk Bandar Adam Yii berkata, tindakan itu untuk memastikan semua cukai taksiran, notis dan surat diterima oleh pembayar cukai. 

Yii memberitahu, sehingga Oktober, terdapat sebanyak 72,458 hartanah di Miri. 

"Pada masa ini, cukai taksiran dihantar melalui e-bil dan notis peringatan dihantar melalui notifikasi SMS," jelas beliau selepas menghadiri Jerayawara Kesedaran Promosi Cukai Taksiran di sini, pada Sabtu. 

Yii yang juga ADUN Pujut turut menasihatkan pembayar cukai untuk membuat pembayaran cukai secara dalam talian melalui aplikasi S Pay Global, laman sesawang dan aplikasi Service Sarawak serta laman sesawang Pay Bills Malaysia. 

Yii berkata, kaedah pembayaran secara digital itu lebih mudah dan mengelak pembayar cukai dari menunggu giliran di kaunter. 

Beliau memberitahu, kerajaan Sarawak menerusi Inisiatif Pasca COVID-19 telah menawarkan diskaun sebanyak 25 peratus untuk bil taksiran pada separuh pertama dan kedua tahun ini.

Menurutnya, mereka yang telah menjelaskan cukai lebih awal, jumlah terlebih bayar akan dikreditkan dalam bil taksiran tahun 2023. 

"Bayaran kadar taksiran kepada kepada pihak MBM adalah penting. Ia membantu kita menjadikan bandar raya Miri sebuah bandar raya mampan serta membolehkan kita memberi perkhidmatan berkualiti dan efisien kepada penduduk secara menyeluruh," jelas Yii. 

Tentang jerayawara, ia dianjurkan Jabatan Pencukaian dan Penilaian serta Service Sarawak dari 29 hingga 30 Oktober di Everwin Tudan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Pembayar cukai yang menjelaskan pembayaran ketika jerayawara itu layak untuk menebus sebotol minyak masak Merris 2kg untuk setiap hartanah sementara stok masih ada. 

Sehubungan itu, Yii berterima kasih kepada penduduk Miri atas sumbangan mereka menjelaskan cukai taksiran. 

"Bersama kita membangunkan Miri dan menjadikan Miri bandar raya peranginan dan berbangga dengan Miri,” tambahnya.
Yii menyampaikan minyak masak kepada pembayar cukai semasa jerawaraya di Everwin pada Sabtu.