News

Yii rancang tambah parkir di Pasar Besar Krokop
Posted on : 20 Jan 2023  Source of News: Utusan Borneo
 

Yii (dua kiri) bersama salah seorang pengunjung (kiri) mencuci tangan di sinki yang baru dipasang di pasar Krokop 10.

MIRI: Tempat letak kereta di Pasar Besar Krokop Lorong 10 akan ditambah untuk mengurangkan dan mengatasi masalah kesesakan di sekitar kawasan perniagaan itu.

ADUN Pujut Adam Yii berkata, taman permainan di pasar itu dicadang akan ditukar kepada tempat letak kereta yang baharu. 

Beliau memberitahu, sebanyak 54 lot parkir baharu dirancang disediakan apabila projek itu siap kelak. 

"Di bawah dana RTP (Program Transformasi Luar Bandar), kita akan bina tempat letak kereta tambahan di taman permainan. Jadi, kita akan menukar taman permainan kepada tempat letak kereta," jelasnya pada Khamis. 

Menurut Yii, kekurangan parkir antara masalah utama dihadapi pengunjung yang membanjiri pasar itu pada waktu pagi.

Beliau memberitahu, pembinaan parkir itu adalah projek besar yang dilakukan di pasar itu. Projek lain yang dirancang ialah memasang penutup di parit. 

Yii yang juga Datuk Bandar Miri berkata, kerja-kerja penambahbaikan akan terus dilakukan di pasar itu termasuk memperbaiki kerosakan dan menambah kemudahan untuk keselesaan pengunjung dan peniaga. 

"Ramai penduduk mendapat barangan keperluan harian mereka di sini. Jadi, kita akan terus menambah baik keadaan pasar ini, " jelasnya. 

Menurut Yii , tiga projek kecil telah siap dilaksanakan di pasar itu yang menggunakan Geran Khas Jabatan Perdana Menteri (ICU) daripada kerajaan persekutuan yang berjumlah RM25,000.

Projek terbabit ialah membina beranda dan memasang sinki di seksyen gerai daging babi, kerja membaiki jubin di tangga dan memasang sinki di gerai ikan serta memperbaiki meja.