Projek pasang penutup parit masjid Pujut Adong bermula bulan ini |
Posted on : 20 Jan 2023 Source of News: Utusan Borneo |
MIRI: Parit di Masjid Nurul Jamilun Subhi Kampung Pujut Adong akan dipasang penutup besi di bawah dana Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) DUN Pujut yang dilaksanakan bermula bulan ini. ADUN Pujut Adam Yii tidak mahu sebarang penangguhan dan menggesa pihak kontraktor yang dilantik untuk segera menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan iaitu tiga bulan. "Saya mahu anda menyiapkan projek secepat mungkin," jelas Yii ketika melakukan lawatan di masjid tersebut, hari ini. Beliau yang juga Datuk Bandar berkata, permintaan untuk pemasangan penutup parit itu telah disuarakan pihak masjid pada empat tahun lalu. Menurutnya, cadangan telah dirujuk kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) tetapi disebabkan kekurangan dana, projek tersebut belum dapat dilaksanakan. "Saya gembira memberitahu projek ini dapat dibuat menggunakan dana RTP. "Saya berterima kasih kepada jawatankuasa masjid atas kesabaran mereka," tambahnya. Beliau memberitahu, projek dilaksanakan menggunakan dana RTP berjumlah RM150,000. Kontraktor akan memasang penutup besi di parit hadapan dan tepi masjid dengan jarak sepanjang 150 meter serta menurap kawasan sekitarnya. Apabila siap, ia akan turut berperanan sebagai tempat parkir baharu untuk kenderaan jemaah masjid. Ketua Kaum Mohamad Fauzi Abdullah turut berterima kasih kepada Yii dan berharap projek dilaksanakan dengan jayanya. |