The original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspaper
MIRI: Beberapa jalan menuju Wireless Walk dan Permaisuri Imperial City Mall akan ditutup selama setengah hari untuk menjayakan program Hari Tanpa Kereta Bandar Raya Miri pada Sabtu ini.
Jalan menuju Jalan North Yu Seng dan Jalan Merpati, separuh jalan di Jalan Persekutuan, Jalan Kipas, Jalan Sylvia dan Jalan Parry ditutup sementara untuk lalu lintas kenderaan bermula jam 5.30 pagi hingga 11 pagi.
Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan media hari ini ingin mengingatkan pemilik kenderaan agar merancang lebih awal berikutan penutupan jalan dan bersedia untuk menggunakan laluan lain untuk membolehkan mereka sampai ke destinasi.
Selain menempatkan warden trafik, papan tanda lencongan lalu lintas yang sesuai akan diletakkan di tapak untuk memudahkan pemilik kereta membuat jalan lencongan.
Kenyataan itu memberitahu, tempat letak kereta akan dihadkan kerana jumlah pengunjung yang ramai menghadiri acara tersebut.
Pengunjung disaran meletak kenderaan mereka di tempat letak kereta Jalan Ansellia, Jalan Zinnia, Jalan Calliandra, Jalan Helenium dan Jalan Unus.
Penduduk Miri diajak menyertai acara ini yang merupakan sebahagian daripada usaha global untuk mengurangkan lalu lintas dan meningkatkan kualiti udara dengan melakukan perjalanan yang lebih hijau.
MBM telah merancang pelbagai siri aktiviti untuk penyertaan umum seperti zumba, fun walk, permainan dan cabutan bertuah.