News

 

Efforts to clean the beach are part of Miri city's green initiative: Yii

Posted on 16 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo

The Original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspape.



MIRI: Seramai hampir 50 penduduk terlibat dalam program gotong-royong pembersihan pantai di pantai Luak Esplanade anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada Sabtu. 

Datuk Bandar Adam Yii berkata, penganjuran aktiviti itu juga bukti komitmen MBM untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar dan kesan negatif pencemaran terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Hijau MBM yang lebih besar bertujuan untuk menjadikan bandar raya Miri yang lebih bersih, sihat dan lebih mampan," jelas Yii. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut itu memberitahu, penganjurannya juga untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan melindungi alam sekitar dan memahami kesan buruk pencemaran terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

Ia juga untuk menanam rasa kewajipan dalam diri setiap individu untuk menjaga kebersihan dan menggalakkan kelestarian alam sekitar serta mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan untuk mengekalkan keindahan semula jadi pantai di sini, katanya.

Yii menambah, usaha MBM itu juga menyumbang secara langsung untuk mencapai beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu kesihatan dan kesejahteraan yang baik (SDG 3), bandar dan komuniti lestari (SDG 11), penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab (SDG 12), kehidupan dalam air (SDG 14), kehidupan di darat (SDG 15) dan perkongsian matlamat (SDG 17) 
Menurut Yii, visi MBM adalah jelas iaitu menjadikan Miri sebagai bandar raya hijau, pintar dan bandar raya peranginan antarabangsa paling boleh didiami.

"Kita berhasrat untuk mewujudkan sebuah bandar raya yang bukan sahaja menawarkan landskap semula jadi yang menakjubkan tetapi juga mengamalkan amalan hidup pintar dan mampan," jelas Yii. 

Hadir sama ialah pengerusi pengelola Kaunselor Leslie Lau.
Yii (barisan kedua, lima kiri) merakamkan kenangan bersama peserta gotong-royong di pantai Luak Esplanade pada Sabtu.