The original news is in Malay Language from TVS newspaper
MIRI, 7 Ogos: Satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bandaraya Miri dengan delegasi Guangning, China bakal dimeterai pada 27 Ogos depan.
Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata, MoU itu ditandatangani sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dengan China.
Menurut beliau, kerjasama yang akan terjalin itu juga sangat bermakna dan menunjukkan hubungan mesra membabitkan Bandaraya Miri dengan Guangning berasaskan rasa hormat dan faedah bersama.
“(Kerjasama yang terjalin juga akan membabitkan aspek) pendidikan, kebudayaan, pelancongan dan perdagangan,” katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya Miri di sini hari ini.
Hubungan Miri dan Guangning dimulakan oleh Persatuan Guangning Miri sejak 29 Oktober 2012
Majlis menandatangani MoU berkenaan juga dijangka akan disaksikan oleh Konsul Jeneral China di Kuching, Xing Weiping.
Adam Yii turut menggalakkan penduduk Guangning memohon skim Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) bagi menarik pelaburan dan bakat datang ke Miri. -TVS