News

 

Leaching material from bins, garbage trucks among MBM's urgent issues

Posted on 11 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo


Original News In Bahasa Malaysia

MIRI: Bahan larut resap dari tong sampah dan lori kutipan sampah yang mengotorkan jalan antara aduan penduduk yang diterima Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Bercakap kepada pemberita, Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Ariffin Mohammad berkata, masalah itu antara isu paling mendesak yang harus ditangani MBM.

Ariffin menambah, seiring pertumbuhan bandar raya jumlah sisa yang dihasilkan turut meningkat.

Namun begitu tegasnya, penyelesaiannya bukan sekadar meningkatkan belanjawan kutipan sampah tetapi juga mengurangkan sisa daripada sumber dan pengurusan yang betul.

“Apabila bandar semakin membesar, penghasilan sisa pun bertambah tetapi penyelesaiannya bukan hanya dengan membelanjakan lebih untuk kutipan.

“Ia tentang bagaimana kita boleh kurangkan sisa daripada punca dan mengurusnya dengan betul,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis di Dewan Bandaraya Miri hari ini.

Beliau hadir mewakili Datuk Bandar Adam Yii yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang kini berada di ibu negeri untuk menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau memberitahu, mendidik orang ramai tentang amalan pengurusan sisa yang betul kini lebih penting berbanding sebelum ini, memandangkan MBM sedang menghadapi peningkatan kos pengurusan sisa di seluruh bandar raya.

"Walaupun penguatkuasaan undang-undang berkaitan sisa adalah perlu, perubahan yang berkekalan mestilah bermula dengan kesedaran dan pendidikan di semua peringkat masyarakat iaitu dari sekolah dan rumah ke tempat kerja dan organisasi komuniti.

“Perbelanjaan majlis untuk pengurusan sisa telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin disebabkan oleh pertambahan penduduk dan amalan masyarakat yang kurang baik," jelasnya.

Mengulas tentang pembuangan sampah secara haram dan kaedah pelupusan yang tidak bersih Ariffin berkata, walaupun undang-undang sedia ada membenarkan penguatkuasaan terhadap aktiviti sedemikian, pendidikan harus diberi keutamaan sebelum hukuman dikenakan.

“Apabila kita ada undang-undang, kita mesti kuatkuasakan tapi sebelum itu kesedaran perlu dibina.

"Sebab itu sekolah, ibu bapa dan agensi kerajaan mesti mainkan peranan,” katanya.

Menerusi Jawatankuasa Tetap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) majlis, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk Hari Tanpa Kereta, pendidikan kitar semula dan aktiviti libat urus dengan rakan tempatan bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar.

Namun beliau menambah, masih banyak yang boleh dilakukan dan kehidupan bandar yang mampan tidak dapat dicapai oleh majlis semata-mata.

“Tabiat lestari mesti datang daripada rakyat.

"Jika kita dapat tanam nilai-nilai ini sejak awal, kita dapat kurangkan kos pembersihan, mengurangkan kesan alam sekitar dan menumpukan sumber kita kepada pembangunan Miri yang lebih baik,” katanya sambil menambah bahawa pihak majlis akan memperhebatkan usaha pendidikan melalui kempen yang lebih menyeluruh.