Original News In Bahasa Malaysia
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memberi perhatian kepada teguran dan kritikan umum terhadap aktiviti anjuran pihak mereka.
Bercakap kepada pemberita, Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Ariffin Mohammad berkata, komen awam penting untuk membolehkan MBM memperbaiki kelemahan serta memastikan matlamat penganjurannya tercapai.
“Sudah tentu kami juga menerima beberapa komen negatif dan kami ambil perkara ini dengan serius.
"Adalah penting untuk mendengar dan mengambil tindakan segera supaya pihak majlis dan penganjur dapat belajar dan memperbaiki acara pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis di Dewan Bandaraya Miri hari ini.
Beliau hadir mewakili Datuk Bandar Adam Yii yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang kini berada di ibu negeri untuk menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Ariffin berkata demikian bagi mengulas penganjuran Karnival MBM yang telah diadakan selama 10 hari bermula 16 Mei lalu di Dataran Kipas Miri.
Karnival bertema 'Perpaduan Pelbagai Kaum' itu dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-20 Hari Bandar Raya Miri.
Menurut Ariffin, aktiviti itu turut mendapat maklum balas positif dan sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan peniaga.
Beliau memberitahu, berbanding dengan acara tahun lalu, karnival tahun ini menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dari segi pengasingan kawasan vendor yang lebih teratur.
“Karnival ini dirancang untuk menarik penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.
"Susun atur gerai makanan yang teratur mencerminkan komitmen penganjur terhadap keterangkuman dan keharmonian budaya,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan karnival itu mungkin turut dipengaruhi oleh acara-acara lain yang berlangsung serentak seperti program Bakti MADANI dan Konsert MeleTOP TVS yang turut menarik kehadiran orang ramai.
“Kami berasa gembira kerana para pengunjung dan penonton menikmati semua acara yang dianjurkan,” tambahnya.