News

 

Miri WAK Festival returns with arts and cultural excitement

Posted on 11 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo


Original News In Bahasa Malaysia

MIRI: Bandar raya Miri bakal diserikan lagi dengan kemeriahan seni dan budaya apabila Festival WAK Miri 2025 kembali pada 13 hingga 15 Jun depan susulan kejayaan edisi sulung tahun lalu.

Majlis perasmian kalendar acara telah disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Ariffin Mohamad di Dewan Bandaraya Miri pada Jumaat.

Ariffin dalam ucapannya memberitahu, festival itu yang julung kali diadakan pada tahun lalu,  bukan sekadar acara tetapi adalah satu gerakan yang memberi  memberi nafas baharu kepada ruang awam, menghidupkan jalanan dengan warna, muzik dan persembahan.

Aktiviti itu juga berjaya menghimpunkan penduduk dan pelancong untuk meraikan bersama cerita, warisan dan tenaga kreatif yang mentakrifkan penduduk Miri itu sendiri.

"Tahun ini, kita benar-benar teruja untuk menyaksikan festival ini berkembang  dengan lebih banyak aksi, lebih banyak bengkel, lebih banyak kerjasama dan penyertaan komuniti yang lebih besar.

"Daripada seni jalanan dan teater kepada persembahan muzik dan pameran kraf, setiap elemen festival mengingatkan kita bahawa seni bukan semata-mata hiburan, ia adalah ekspresi tentang siapa kita, dan aspirasi," jelas Ariffin.

Festival akan berpusat di Pusat Kraftangan Miri serta beberapa lokasi terpilih yang akan mempersembahkan pelbagai program menarik termasuk persembahan, pameran, bengkel dan aktiviti komuniti.

Pengurus festival Brendan Chin menyasarkan seramai 50,000 pengunjung untuk aktiviti selama tiga hari itu melihat kepada jumlah kunjungan yang dicapai pada festival tahun lalu.

Edisi kedua ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif kreatif oleh gerakan What About Kuching (WAK) yang bertujuan memperkasa komuniti melalui platform seni terbuka, dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Bertemakan 'Daripada komuniti, untuk komuniti,' festival itu menghimpunkan penggiat seni tempatan dan serantau untuk berkongsi idea, berkolaboratif dan menginspirasi melalui pelbagai bentuk seni termasuk muzik, teater, fesyen, fotografi, kraf tangan dan persembahan budaya.

Antaranya, Emily of Emerald Hill iaitu teater solo ikonik yang dilakonkan Pearlly Chuah dalam suasana eksklusif di Kebaya Story yang disertai dengan jamuan petang, Time Signature iaitu kumpulan instrumental terkenal dari Kuching kembali memeriahkan malam Sabtu dengan persembahan istimewa dan Into the Wild & All About Arts iaitu pameran seni visual dan gaya hidup yang memukau oleh artis-artis Sarawak.

Turut menjadi tarikan adalah pertunjukan fesyen All About Arts yang menampilkan koleksi Edric Ong dan Melor by Melinda Omar yang turut dipersembahkan di London Fashion Week, Set DJ oleh DJ Dora, DJ Mago, DJ Raafiikii, DJ 40% dan ramai lagi yang  menyerikan suasana di seluruh bandar.

Selain itu, festival ini juga menawarkan bengkel kreatif seperti bengkel sabun aromatik DIY, program seni mural bersama Mercure Beyond Art Festival dan aktiviti mesra keluarga yang meriah di pelbagai lokasi.