News

 

After 20 years, Miri is now a developed and smart resort city: Yii

Posted on 11 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo


Original News In Bahasa Malaysia

MIRI: Sejak dinaik taraf menjadi bandar raya 20 tahun lalu, Miri telah berkembang pesat daripada sebuah bandar minyak yang sederhana menjadi bandar raya peranginan yang maju dan pintar pada hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii memberitahu, pencapaian itu adalah hasil kerjasama dan semangat dedikasi serta komitmen tinggi semua pihak melibatkan warga MBM termasuk ahli-ahli majlis, penjawat awam, pemimpin masyarakat, rakan kongsi sektor swasta serta penduduk Miri.

"Terima kasih atas sokongan anda yang tidak berbelah bahagi, komitmen dan kepercayaan terhadap bandar kita," ujarnya semasa merasmikan upacara menaik dan mengibarkan bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 MBM di pekarangan Dewan Bandaraya Miri di Marina City, hari ini.

Beliau mewakili Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Ariffin Mohamad, Pemangku Setiausaha MBM Abdul Rahman Taupek, Datuk Bandar Baguio City Filipina Benjamin B. Magalong, Datuk Bandar Itogon Filipina Bernard Waclin, ketua-ketua jabatan serta warga MBM.

"Upacara ini bukan sekadar tradisi, malah ia mencerminkan identiti kita, perpaduan kita dan perkongsian perjalanan kita.

"Ia menandakan dua dekad pertumbuhan, transformasi dan kejayaan kolektif Miri sebagai sebuah bandar raya," tambah Yii.

Malah katanya, seluruh warga MBM telah menyaksikan sendiri kemajuan luar biasa sama ada dalam infrastruktur, kemudahan awam, inisiatif alam sekitar, pembangunan ekonomi dan pertumbuhan pelancongan.

"Miri hari ini tidak sama seperti 20 tahun dahulu, ia lebih berani, lebih hijau, lebih bijak dan dinamik.

"Sebagai sebahagian daripada perayaan hari ini, kami mengambil peluang ini untuk menghormati individu yang telah menyumbang 20 tahun dan lebih secara berterusan dan komited berkhidmat di pelbagai jabatan bersama pihak berkuasa tempatan ini.

"Pengiktirafan ini melambangkan setinggi-tinggi penghargaan kami terhadap kesetiaan, ketabahan dan kecemerlangan yang menjunjung integriti perkhidmatan awam.

"Biarlah sambutan ulang tahun ini bukan sahaja mencerminkan masa lalu, tetapi juga menjadi janji untuk masa hadapan.

"Semoga bandar Miri terus berkembang dan maju.

"Semoga kita juga terus bersatu ke arah mencapai visi majlis untuk menjadi sebuah bandar raya antarabangsa yang hijau, pintar dan bandar raya perainginan paling boleh didiami.

"Semoga bendera yang kita kibarkan hari ini menjadi simbol kebanggaan kita yang berkekalan dan komitmen berterusan untuk membina Miri yang lebih baik untuk generasi akan datang," kata Yii.