MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan memperhebat usaha memantau premis yang mempunyai lesen berkaitan makanan, perdagangan, kesihatan dan hiburan melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Perlesenan mulai tahun hadapan, bagi memastikan semua premis mematuhi peraturan majlis.
Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Ariffin Mohamad (gambar) berkata pemantauan itu dilakukan bagi menangani isu perlesenan secara proaktif di Miri.
“Ini timbul selepas saya dimaklumkan oleh pihak polis mengenai beberapa insiden salah laku di premis hiburan di Miri. Semakan mendapati premis-premis tersebut tidak berlesen.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, kita mungkin tidak mengetahui segala aktiviti yang berlaku, tetapi saya telah mengarahkan pegawai bertanggungjawab untuk lebih proaktif memeriksa premis ini, bukan hanya bertindak selepas sesuatu berlaku,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MBM di Dewan Bandaraya Miri pada Jumaat.
Beliau menambah, memastikan premis memohon lesen juga berupaya menjana hasil untuk majlis, di mana lebih banyak pemantauan dan tindakan, lebih tinggi pendapatan MBM.
Selain itu, unit penguatkuasaan bahagian berkenaan juga akan melaksanakan lebih banyak Ops Pemutihan bagi menangani struktur haram atau pembangunan tidak terkawal di sekitar Miri.
“Ramai pengusaha makanan berasaskan rumah mula muncul di kawasan perumahan. Biasanya tindakan hanya diambil selepas menerima aduan berkaitan gangguan bunyi atau kebersihan.
“Namun, kita tidak terus mengenakan kompaun, sebaliknya memberi amaran dengan tempoh pematuhan. Mereka yang gagal mematuhi akan dikenakan tindakan tegas,” jelasnya.
Amaran tersebut biasanya disertai nasihat kepada pengusaha untuk menukar penggunaan tanah, bagi melegalkan premis mereka untuk tujuan makanan dan minuman.