Woman under police investigation for filing false robbery report

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online


This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:


MIRI: Tindakan seorang wanita tempatan membuat laporan polis palsu mengenai kejadian samun yang didakwa menimpanya akhirnya memakan diri apabila dia kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat tidak benar kepada penjawat awam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, wanita berusia 29 tahun itu membuat laporan polis pada jam 1.58 pagi, 28 Mei lalu mendakwa dirinya disamun oleh empat lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Menurutnya, dalam laporan tersebut, pengadu mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 10 malam, 27 Mei lalu di tepi jalan berhadapan Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut, ketika dia berhenti di kawasan berkenaan untuk membuang air besar.

“Pengadu mendakwa salah seorang suspek telah mengacukan sepucuk pistol ke arah perutnya sebelum melarikan seutas rantai leher emas, sebentuk cincin emas, seutas gelang emas dan wang tunai RM350.

“Jumlah kerugian yang dilaporkan adalah sebanyak RM3,130,” katanya dalam kenyataan media.

Susulan laporan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan menyeluruh dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati terdapat pelbagai percanggahan dan kelompongan maklumat yang diberikan oleh pengadu sepanjang proses siasatan.

Mohd Farhan berkata, risikan dan siasatan lanjut yang dijalankan berjaya menemukan bukti bahawa kejadian samun yang dilaporkan sebenarnya tidak pernah berlaku.

“Berdasarkan bukti yang diperoleh, pengadu akhirnya mengaku bahawa laporan polis yang dibuat adalah tidak benar.

“Malah semua barang kemas dan wang tunai yang didakwa disamun turut ditemui dalam simpanannya sendiri,” jelas beliau

Berikutan itu, pegawai penyiasat kes telah membuat satu lagi laporan polis berhubung tindakan pengadu yang didakwa sengaja memberikan laporan palsu kepada pihak berkuasa.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mohd Farhan mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali membuat laporan polis palsu demi kepentingan atau keuntungan peribadi kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.