Long Bedian is an example of successful rural development.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Dennis (dua kiri) menerima cenderamata khas daripada wakil penduduk Long Bedian sempena sambutan ulang tahun ke-80 penubuhan rumah panjang tersebut pada Isnin.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:
 

MIRI: Rumah Panjang Long Bedian yang menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-80 terus menjadi contoh kejayaan pembangunan luar bandar di kawasan pedalaman Sarawak hasil sokongan padu penduduk kepada kerajaan serta semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau berkata, sejak diasaskan secara sederhana pada 1946, Rumah Panjang Long Bedian telah melalui pelbagai fasa pembangunan sehingga muncul sebagai antara rumah panjang terbesar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke-80 Rumah Panjang Long Bedian di Dewan Serba Guna Long Bedian, di Ulu Baram malam Isnin.

Menurut Dennis, pembangunan yang dicapai oleh Long Bedian bukan hanya diukur melalui pertambahan penduduk atau penyediaan kemudahan fizikal, malah turut terserlah menerusi transformasinya daripada sebuah penempatan kecil kepada pusat daerah kecil di bawah pentadbiran daerah Telang Usan sejak 2014.

“Salah satu faktor penting yang membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan kemajuan di rumah panjang ini ialah sokongan padu serta berterusan penduduk kepada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada masa kini,” katanya.

Sambutan yang berlangsung meriah itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan etnik Kayan dan Kelabit serta dihadiri kira-kira 800 penduduk kampung termasuk anak-anak perantau Long Bedian yang pulang untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah tersebut.

Dennis berkata, kejayaan yang dinikmati Long Bedian kini juga adalah hasil kesungguhan, pengorbanan dan komitmen pemimpin rumah panjang terdahulu serta pemimpin masa kini dalam memacu pembangunan kawasan berkenaan.

Beliau turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai manifestasi nyata perpaduan, semangat muafakat dan kerjasama erat seluruh penduduk yang sentiasa berganding bahu membangunkan kampung mereka berlandaskan slogan 'Peji, Peju, Pejoh' yang membawa maksud bersama, bangkit dan terus mara ke hadapan.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kemajuan Long Bedian sepanjang lapan dekad penubuhannya.

“Semoga Long Bedian terus melangkah maju, berkembang dengan lebih pesat dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang,” ujarnya.