Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man (gambar) berkata, program tersebut bertujuan memperkenalkan tarikan unik, kepelbagaian budaya serta makanan tempatan yang menjadi identiti bandar raya Miri kepada audiens yang lebih luas.
Menurut beliau, antara peserta yang akan menyertai lawatan itu ialah penyampai berita terkenal 8TV Tan Chia Yong, penyampai radio 998 PM Wang, penyampai radio AiFM Essel Yap serta beberapa pempengaruh yang menghasilkan kandungan berkaitan pelancongan.
“Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan promosi industri pelancongan Miri dan menonjolkan keunikan bandar raya ini kepada masyarakat luar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pelbagai lokasi pelancongan telah disenaraikan dalam jadual lawatan berkenaan bagi memberikan pengalaman sebenar kepada para peserta.
Antara destinasi yang akan dikunjungi ialah Tamu Muhibbah, Ladang Buaya Miri, Taman Negara Bukit Lambir, Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti dan Taman Negara Niah.
Katanya, lawatan ke lokasi berkenaan akan membolehkan peserta melihat sendiri kekuatan Miri sebagai destinasi ekopelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi serta warisan budaya yang unik.
Selain itu, peserta turut berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional termasuk makanan masyarakat Dayak, sayur-sayuran tempatan yang terkenal di Miri serta aneka kuih-muih dan pencuci mulut Sarawak.
Chiew berkata, sepanjang program berlangsung, para pempengaruh dan wakil media akan berkongsi pengalaman mereka melalui platform media sosial dan saluran penerbitan masing-masing.
Beliau yakin pendekatan pemasaran melalui pempengaruh mampu memberi impak besar dalam menarik minat pelancong kerana kebanyakan pelancong masa kini lebih cenderung mendapatkan maklumat dan cadangan berdasarkan pengalaman sebenar yang dikongsikan secara dalam talian.
“Dengan memaparkan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan pelbagai tarikan menarik yang ada di Miri, kita berharap lebih ramai pelawat akan memilih bandar raya ini sebagai destinasi percutian mereka,” ujarnya.
Beliau turut optimis bahawa inisiatif tersebut akan meningkatkan profil Miri di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat serta pengusaha industri pelancongan.
Pada masa sama, beliau menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memperkukuhkan sektor pelancongan Miri dan meletakkan bandar raya itu sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di Sarawak dan Malaysia.