12 organizations make the Sarawak Day 2026 (722) Blood Donation Campaign a success.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Chia (duduk lima kanan) bersama jawatankuasa penganjur Kempen Derma Darah 722 Hari Sarawak 2026.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:
 

MIRI: Sebanyak 12 pertubuhan di bandar raya ini berganding bahu menjayakan Kempen Derma Darah 722 Hari Sarawak 2026 edisi keenam yang akan diadakan pada 22 Julai depan dari jam 9 pagi hingga 1 petang di Dewan Pameran Aras 3, Pusat Beli-Belah Boulevard di Jalan Pujut.

Kempen tersebut turut mendapat sokongan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Miri dan Tabung Darah Hospital Miri.

Pertubuhan yang terlibat ialah Bahagian Belia Persatuan Thai Poo Miri, Bahagian Belia Persatuan Klan Chiang Hsia Huang Miri, Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), Bahagian Belia Persatuan Kwong Wai Siew Miri, Bahagian Belia Persatuan Klan Ying Yong Cheng Miri, Pusat Aktiviti Belia Miri (MYAC), Bahagian Belia Persatuan Koir Pelangi Miri, Bahagian Belia Persatuan Klan Chen Miri, Bahagian Belia Persatuan Klan Lee Sarawak Cawangan Miri, Bahagian Belia Persatuan Klan Yong Miri dan Persatuan Muzik Miri.

Pengerusi Bahagian Belia Persatuan Thai Poo Miri merangkap pengasas program Chia Kah Furng berkata, penganjur menyasarkan seramai 250 penderma darah bagi menjayakan kempen tahun ini.

Menurut beliau, program tersebut yang diperkenalkan enam tahun lalu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat sehingga menjadi salah satu platform derma darah tahunan yang penting di Miri.

“Tahun ini menandakan penganjuran kali keenam Kempen Derma Darah 722.

"Jumlah organisasi yang terlibat sebagai penganjur bersama juga terus meningkat daripada hanya dua organisasi pada peringkat awal kepada 10 organisasi tahun lalu dan kini bertambah kepada 12 organisasi.

“Ini membuktikan semakin banyak pertubuhan yang komited untuk bersama-sama menyumbang kepada masyarakat serta membantu mereka yang memerlukan bekalan darah,” katanya.

Beliau berkata, selain menerima pelbagai cenderamata tajaan, penderma darah yang berjaya turut berpeluang memperoleh kemeja-T edisi terhad yang disediakan oleh pihak penganjur sebagai tanda penghargaan.

“Jumlah kemeja-T adalah terhad dan diberikan berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat,” jelasnya.

Tambah beliau, penganjuran kempen derma darah bukan sahaja membantu Tabung Darah Hospital Miri mengekalkan bekalan darah yang mencukupi dan stabil, malah turut memupuk budaya prihatin serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua peniaga dan individu yang tampil menaja serta menyokong program berkenaan.

Antara sumbangan yang akan diberikan kepada penderma ialah kek cawan, sekampit 5 kilogram (kg) beras, biskut, air mineral, minuman dan roti sebagai tanda penghargaan atas kesudian mereka menderma darah.

Beliau turut menyeru masyarakat tanpa mengira kaum dan agama agar tampil menyertai program berkenaan.

“Menderma darah adalah satu amalan mulia yang mampu menyelamatkan nyawa serta memberi harapan kepada pesakit yang memerlukan.

“Kami berharap lebih ramai tampil ke lokasi derma darah bagi bersama-sama menyebarkan kasih sayang dan meneruskan semangat membantu sesama insan,” katanya.