MIRI: Bandar raya Miri bakal kembali dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seni, budaya dan gaya hidup apabila Festival WAK Miri 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun ini di Pusat Kraftangan Miri serta beberapa lokasi lain di sekitar bandar raya.
Pengurus Festival Brendan Chin berkata, penganjuran edisi ketiga festival itu meneruskan usaha WAK dalam memperkasakan komuniti menerusi platform kreativiti yang terbuka dan mudah diakses dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Menurutnya, bertemakan 'Daripada komuniti, untuk komuniti' festival berkenaan menghimpunkan penggiat kreatif tempatan dan serantau bagi berkongsi idea, bekerjasama serta memberi inspirasi melalui pelbagai bentuk seni termasuk muzik, teater, fesyen, fotografi, kraf gaya hidup dan persembahan budaya.
“WAK Miri adalah sambutan terhadap nadi kreatif bandar raya ini.
"Festival ini memberi platform kepada artis, pemuzik dan pengkarya untuk dilihat dan didengari, sambil membuka ruang kepada masyarakat umum untuk lebih dekat dengan seni dan budaya,” katanya pada majlis pelancaran kalendar rasmi festival itu di Dewan Bandaraya Miri hari ini.
Antara tarikan utama festival ialah Festival Gendang Sarawak bagi Zon Bintulu dan Miri yang menjadi acara kebudayaan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Persembahan tersebut mengetengahkan warisan hidup Sarawak menerusi irama gendang tradisional selain seni Bermukun dan Bertandak.
Festival itu turut menampilkan Kempen Kutipan Dana GoBald 2026 anjuran Persatuan Pesakit Kanser Kanak-Kanak Sarawak yang dijangka menjadi acara cukur kepala terbesar di rantau ini sebagai tanda solidariti terhadap kanak-kanak yang berjuang melawan kanser.
Turut mencuri tumpuan ialah persembahan khas artis kelahiran tempatan Naki, yang akan pulang ke tanah air bagi menjayakan malam muzik intim yang mengetengahkan elemen nostalgia dan penceritaan peribadi.
Chin dan Yii menunjukkan kalendar acara Festival WAK Miri bersama Kaunselor Sean Huang pada sidang media tersebut.
Bagi peminat seni tatu, Inkzone Tattoo Culture Festival akan berlangsung selama tiga hari dengan penyertaan artis terkenal seperti Baxx Jordan, Sylvester Juli dan Ianbeck.
Program itu merangkumi demonstrasi tatu kontemporari dan tradisional Borneo, bengkel industri serta persembahan pentas.
Selain itu, MYY Vintage, Arts & Collectors Market akan menghimpunkan kira-kira 30 pencipta dan vendor dari Miri serta Brunei yang menawarkan pelbagai koleksi vintaj, kraftangan buatan tangan dan makanan artisanal tempatan.
Festival tersebut juga akan dimeriahkan dengan WAK Festival Pickleball Challenge dan Pickled on the Streets yang menggabungkan elemen sukan serta gaya hidup menerusi kejohanan pickleball, pesta jalanan keluarga, gelanggang pop-up, persembahan DJ dan pelbagai aktiviti interaktif.
Pengunjung turut berpeluang menikmati beberapa pameran dan showcase kreatif seperti All About Arts yang dikurator Edric Ong, Wild About Nature: Closer to Nature serta Celebrating Malaysia Through the Lens dengan kerjasama Canon Marketing Malaysia yang menampilkan karya jurugambar profesional dan artis tempatan.
Dalam pada itu, WAK Miri Festival turut bekerjasama dengan Front Row Comedy Sentral bagi membawakan persembahan komedi berdiri Jacky Ng Live in Miri yang akan berlangsung pada 19 Jun di Octo Gastrobar Miri.
Festival berkenaan juga menjalin kerjasama dengan World National & World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival & Seminar 2026 (WATCEFS) yang berlangsung serentak di Miri bagi mengetengahkan tradisi budaya, kelestarian dan kepentingan memelihara warisan makanan untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, Festival WAK Miri kini semakin kukuh sebagai antara acara tahunan utama bandar raya selepas berjaya menghidupkan ruang awam dengan pelbagai aktiviti seni, muzik dan perkongsian budaya sepanjang dua tahun lalu.
Beliau berkata, festival itu bukan sahaja mengetengahkan bakat kreatif tempatan, malah turut menghimpunkan penggiat seni dari Kuching dan kawasan lain, sekali gus memperkukuhkan aspirasi Miri sebagai hab kreatif serantau yang berkembang pesat.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Miri akan terus komited menyokong pembangunan budaya dan ekonomi kreatif sejajar dengan visi menjadikan Miri sebagai bandar raya peranginan yang hijau, pintar dan berdaya huni.
“Terima kasih kepada pihak penganjur, rakan kolaborasi dan media yang memainkan peranan penting dalam membawa festival ini lebih dekat kepada masyarakat. Semoga gerakan kreatif ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.