New wiring at Tabika Perpaduan Permyjaya enhances safety and comfort.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Christopher (enam kanan) bersama wakil ICU Miri, kontraktor dan guru Tabika Perpaduan Permyjaya.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:
 

MIRI: Kerja-kerja pendawaian elektrik baharu di Tabika Perpaduan Permyjaya telah siap sepenuhnya apabila majlis penyerahan tapak projek siap dilaksanakan baru-baru ini.

Projek berkenaan melibatkan pemasangan sistem pendawaian elektrik baharu bagi menggantikan pendawaian lama yang telah rosak dan sering menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta kejadian litar pintas sehingga menjejaskan operasi harian tabika.

Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, penambahbaikan kemudahan asas seperti pendawaian elektrik amat penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk kanak-kanak serta tenaga pengajar.

“Walaupun projek ini berskala kecil, namun ia memberi impak besar kepada keselamatan dan keselesaan pengguna. Kita mahu memastikan kemudahan asas seperti pendawaian elektrik sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tabika memainkan peranan penting sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak, selain menjadi medium untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, justeru aspek keselamatan dan keselesaan infrastrukturnya perlu sentiasa diberi perhatian.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Unit Pembangunan Sarawak (ICU) Bahagian Miri dan pihak kontraktor atas kerjasama serta komitmen dalam memastikan projek tersebut dapat disiapkan dengan lancar.

Chiew turut menegaskan bahawa beliau akan terus memberi perhatian terhadap keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan awam di kawasan Miri, khususnya yang melibatkan institusi pendidikan awal kanak-kanak.

“Usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan selamat, baik dan selesa untuk kegunaan masyarakat,” tambah beliau.

Dalam pada itu majlis penyerahan disaksikan oleh Pegawai Khas Parlimen P.219 Miri Christopher Jemat Amie mewakili Chiew.