Repair work on the main pipeline at Mile 7, Miri-Bintulu Road, is expected to take 24 hours.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Julaihi ketika melawat tapak kerja baik pulih saluran paip utama di Batu 7. – Gambar UKAS

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:
 

MIRI: Kerja-kerja baik pulih melibatkan saluran paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu dijangka mengambil masa kira-kira 24 jam untuk disiapkan.

Sarawak Water dalam kenyataan medianya semalam memberitahu, kerja dijadual bermula pada jam 5 petang pada 10 Jun.

"Selepas kerja-kerja selesai dilaksanakan, proses pemulihan dan penstabilan sistem bekalan air dijangka memerlukan tambahan masa sekitar 12 jam bergantung kepada lokasi, permintaan pengguna dan keadaan pemulihan tekanan air di kawasan terjejas," jelas kenyataan itu.

Kenyataan memberitahu, kerja-kerja baik pulih itu perlu dilaksanakan susulan pemantauan berterusan dan penilaian teknikal yang dijalankan oleh pasukan operasi dan teknikal Sarawak Water sejak beberapa hari lalu berhubung kemungkinan berlaku kebocoran infrastruktur paip utama tersebut.

Hasil penilaian teknikal mendapati keadaan kebocoran dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah (soil movement) di kawasan terlibat yang telah memberi tekanan kepada struktur paip utama berkenaan.

Pelaksanaan kerja baik pulih itu merupakan langkah terancang dan terkawal bagi memastikan kestabilan jangka panjang sistem bekalan air di Miri dan kawasan sekitarnya terus dipertingkatkan.

Bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan dengan baik, pengguna di beberapa kawasan mungkin akan mengalami gangguan bekalan air sementara, tekanan air rendah atau pemulihan bekalan air yang lebih perlahan sepanjang tempoh kerja baik pulih dan pemulihan dijalankan.

Sarawak Water memberi jaminan bahawa semua persediaan operasi, teknikal, logistik dan komunikasi yang diperlukan telah diaktifkan bagi meminimumkan kesulitan kepada pengguna serta memastikan kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan secepat mungkin dan selamat.

Kawasan terjejas bagi kerja baik pulih paip 750mm MSCL ialah Taman Jelita, Taman Tunku, Jalan Ekabang, Sungai Daing, kawasan Eastwood, kawasan Hilltop, kawasan Riam dan Taman Delight

Sementara kawasan terjejas bagi kerja baik pulih paip 1100mm DICL ialah Krokop / Jee Foh, Jalan Bulan Sabit, kawasan Piasau, Pulau Melayu / Taman Bayshore, kawasan Pujut,  Vista Perdana, Desa Bahagia, kawasan Permyjaya / Desa Pujut / Desa Indah, Southlake, kawasan Tudan, kawasan Senadin, kawasan Lutong / Kuala Baram, Kampung Masjid,  Sungai Tujoh, Kampung Beraya dan Stesen Pam Bukit Song (di bawah seliaan JBALB).

Selain kawasan di bawah sistem agihan Sarawak Water, beberapa kawasan di bawah seliaan JBALB Sarawak turut dijangka mengalami gangguan bekalan air sementara dan tekanan air rendah sepanjang tempoh kerja-kerja baikpulih dijalankan.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah kawasan pesisir dari Kampung Beraya hingga Kuala Sibuti, Jalan Pan Borneo dari Bukit Song, seluruh kawasan Bekenu hingga Sungai Kara, Bukit Peninjau, kawasan Pekan Beluru hingga Sungai Seruas.

Pengguna di kawasan terjejas dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan penting serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh kerja-kerja baikpulih dan pemulihan bekalan air dijalankan.

Dalam pada itu, satu Mesyuarat Penyelarasan yang dipengerusikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi telah diadakan petang semalam.

Mesyuarat bagi menyelaras kesiapsiagaan operasi, pengurusan trafik, bantuan logistik, komunikasi awam dan tindakan antara agensi berkaitan pelaksanaan kerja-kerja baikpulih paip utama tersebut

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) merangkap ADUN Lambir Datuk Dr. Ripin Lamat serta secara talian Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Pengurus Kanan Operasi Sarawak Water Sdn Bhd, Zaid Iskandar Jaraiee serta wakil dari pelbagai agensi.