Water supply disruption: Miri and Sibuti residents urged not to panic.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Julaihi ketika mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berkaitan kerja-kerja baik pulih paip utama di Batu 7, petang semalam. - Gambar UKAS

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:


MIRI: Penduduk di Miri dan Sibuti diminta tidak panik susulan gangguan bekalan air disebabkan kerja-kerja baik pulih saluran paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu pada 10 Jun ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelaksanaan kerja tersebut merupakan langkah terancang hasil pemantauan teknikal berterusan selepas dikesan berlaku kebocoran kecil pada jajaran paip utama di kawasan berkenaan.

Keputusan melaksanakan kerja baik pulih itu dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidiladha dan Gawai Dayak bagi mengelak gangguan terhadap persiapan perayaan, selain memastikan kestabilan sistem bekalan air di Miri dan kawasan sekitarnya.

“Kita telah memantau keadaan ini secara berterusan kerana terdapat tanda-tanda awal kebocoran kecil di lokasi berkenaan. Oleh itu, kerja baik pulih perlu dilaksanakan secara berjadual dan terkawal.

“Kerja baik pulih dijangka mengambil masa kira-kira 12 jam untuk disiapkan, diikuti 12 jam tambahan bagi proses pemulihan dan penstabilan tekanan air di kawasan terjejas,” katanya yang dipetik dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau menambah, keadaan tanah yang tidak stabil di kawasan jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo dikenal pasti antara faktor utama yang menyumbang kepada insiden kebocoran paip utama di lokasi berkenaan.

Katanya, struktur tanah lembut serta pergerakan tanah di kawasan tersebut telah memberi kesan kepada kestabilan infrastruktur paip sedia ada.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai diminta tidak panik susulan gangguan bekalan air yang sedang berlaku, kerana ia merupakan kerja-kerja baik pulih berjadual.

“Namun, tempoh pemulihan boleh mengambil masa lebih lama di beberapa kawasan luar bandar termasuk Beraya, Sibuti dan Bekenu bergantung kepada keadaan sistem.

“Kerajaan negeri menyediakan sekurang-kurangnya 18 lori tangki air, dengan jumlah itu dijangka ditingkatkan sehingga 27 atau 28 lori mengikut keperluan di lapangan,” katanya.

Selain itu katanya, beberapa pusat pengambilan air sementara turut diaktifkan di lokasi strategik termasuk Loji Rawatan Air Lambir serta kawasan tumpuan sekitar Miri bagi kemudahan pengguna.

Menurutnya lagi, sebuah pusat urus setia operasi akan diaktifkan di Loji Rawatan Air Lambir bagi menyelaras aduan, bantuan dan pemantauan operasi secara 24 jam melibatkan Sarawak Water bersama agensi berkaitan.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk di kawasan terjejas menyimpan bekalan air secukupnya lebih awal serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.