MIRI: Selepas hampir sebulan diburu, seekor buaya gergasi sepanjang kira-kira lima meter yang dipercayai bertanggungjawab membaham seorang lelaki warga emas di Sungai Ridan, akhirnya berjaya ditangkap dalam satu operasi khas di Kuala Ridan, awal pagi Jumaat.
Buaya jantan itu merupakan antara lima ekor buaya yang berjaya ditangkap oleh sekumpulan pemburu buaya berlesen yang menjalankan operasi berterusan sejak insiden tragik yang meragut nyawa Liew Mei Koon, 64, pada 7 Mei lalu.
Jurucakap kumpulan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Goh berkata, mereka terpaksa menangguhkan operasi selama beberapa minggu sebelum menyambung semula usaha memburu, selepas paras air sungai kembali surut.
“Kami memasang kira-kira 20 umpan di sepanjang Kuala Ridan sekitar jam 5 petang semalam dan kembali memeriksanya selepas tengah malam.
“Apabila tiba di lokasi, kami mendapati lima ekor buaya telah memakan umpan yang dipasang. Ini sesuatu yang tidak dijangka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dua ekor buaya terbesar yang berjaya ditangkap ialah buaya jantan berukuran kira-kira lima meter dan 4.3 meter, manakala tiga lagi buaya betina masing-masing berukuran 3.4 meter, 3.2 meter dan 2.7 meter.
Beliau berkata, berdasarkan saiz serta kawasan tangkapan, kumpulan itu percaya buaya sepanjang lima meter tersebut merupakan reptilia yang menyerang dan membunuh mangsa bulan lalu.
Pada 12 Mei lalu, kumpulan sama berjaya menangkap seekor buaya sepanjang kira-kira 3.6 meter di Kampung Ridan ketika menjejaki reptilia yang dipercayai membaham mangsa.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan kemudian mendapati buaya berkenaan bukan haiwan yang dicari, menyebabkan operasi memburu diteruskan semula pada 5 Jun.
Dalam kejadian 7 Mei lalu, Liew dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Ridan selepas penduduk menemui motosikalnya ditinggalkan berhampiran jambatan di Jalan Industri Sungai Ridan.
Pakaian dan peralatan memancing milik mangsa turut ditemui di bawah jambatan tersebut sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Keesokan harinya, beberapa bahagian anggota badan yang dipercayai milik mangsa ditemui di tebing sungai, sekali gus menguatkan syak bahawa beliau menjadi korban serangan buaya.
Penangkapan buaya gergasi itu dipercayai menamatkan misteri yang menyelubungi tragedi tersebut, selain memberi sedikit kelegaan kepada penduduk sekitar yang selama ini hidup dalam kebimbangan terhadap ancaman reptilia berkenaan.