Motorcycle theft suspect in Miri successfully arrested.

Posted on 08 Jul 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

Suspek diberkas polis, bersama motosikal yang dicurinya.

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online:
 

MIRI: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal berjaya diberkas polis dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah bangunan kosong di Jalan Hokkien di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 6.50 petang hasil risikan dan siasatan yang dijalankan berhubung kehilangan sebuah motosikal.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan motosikal tersebut pada 1 Jun lalu kira-kira jam 3.07 petang.

"Siasatan mendapati motosikal milik seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun itu diletakkan di kawasan parkir awam Waterfront Commercial Centre pada 31 Mei sekitar jam 1 pagi.

"Bagaimanapun, kira-kira dua jam kemudian, mangsa mendapati motosikalnya telah hilang sebelum membuat laporan polis di balai berhampiran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Farhan berkata, hasil siasatan lanjut dan risikan yang dijalankan berjaya membawa kepada penahanan seorang suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun yang ketika itu didapati sedang menunggang motosikal yang dilaporkan hilang itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek turut menemui satu unit taji ayam yang disimpan di dalam poket seluar yang dipakainya semasa tangkapan dilakukan.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau serta merupakan penagih tegar dadah jenis syabu dan tidak mempunyai pekerjaan tetap," jelasnya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga 10 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan berkunci sama ada ditinggalkan di tempat letak kereta awam mahupun di kediaman masing-masing.

Menurut beliau lagi, penggunaan alat keselamatan tambahan pada kenderaan juga amat digalakkan bagi mengurangkan risiko kecurian.

"Kes curi kenderaan bukanlah satu kes yang mudah diselesaikan. Oleh itu, kerjasama masyarakat dengan menyalurkan maklumat amat membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rayhan Albert di talian 011-10846959 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.